UMNO & PRU15 – KEKUATAN, KELEMAHAN DAN SETIAKAWAN AKAN TENTUKAN KEMENANGAN

MAMPUKAH UMNO HARUNGI SURVIVAL POLITIK NORMA BARU?

Sejak Mei 2018 sebaik Barisan Nasional diumumkan kalah, era kekeliruan bermula dalam Umno. Gegak gempita mencari dimanakah kesilapan percaturan serta tuding menuding diperlihatkan secara langsung dan tidak langsung. Presiden Umno Dato Sri Najib Razak merupakan individu yang paling teruk menerima impak kekalahan dan sebagai seorang yang bertanggungjawab beliau menerima kekalahan tersebut lantas melepaskan semua jawatan utama dalam parti kecuali kedudukannya di Bahagian serta Parlimen.

Suasana tidak menentu menguasai pemikiran jutaan rakyat serta ahli Umno yang selama 6 dekad berpayungkan Barisan Nasional sebagai kerajaan. Tidak kurang yang menuding bukan sahaja jari tetapi juga muncung ke arah Najib Razak sebagai punca kekalahan terburuk BN dalam sejarah hingga membawa satu era baru politik yang tidak terfikir rakyat selama ini.

Pakatan Harapan yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berjaya menumbangkan BN dalam pertarungan paling sengit sejarah Pilihanraya Umum Malaysia. Dengan menggunakan populariti Tun Mahathir dan elemen simpati Orang Melayu terhadap Tan Sri Muhyiddin serta Mukhriz Mahathir, Pakatan Harapan berjaya mencari ruang lompang untuk digunakan sebaik mungkin dan ternyata mereka berjaya. Platform media sosial digunakan maksimum sebagai wadah penghubung antara mereka dan Anak Muda yang keliru dengan perjalanan politik elitis dan marhein sedangkan permainan politik semua parti hampir sama bila mencari sokongan.

Dapat dilihat kekuatan PH ketika itu mereka menggerakkan segalanya dengan mendekati pelbagai lapisan rakyat samada atasan, pertengahan dan bawahan tanpa segan silu bagi menyebarkan doktrin mengapa perlu ‘Ubah’ geopolitik Malaysia ke satu dimensi baru. Bayangkan betapa berjayanya mereka hingga DAP yang satu ketika langsung tidak dapat menjejak kaki ke kawasan Felda mampu berbuat demikian dengan menggunakan definasi ‘Politik Baru’. Itu belum menyentuh bagaimana keghairahan pelusuk negara menatap sosok tubuh Dr Mahathir yang digelarkan sebagai Negarawan.

Siapa yang tidak percaya apa yang Mahathir sebut atas pentas? Selama 22 tahun menguasai kerusi nombor 1, semua lapisan rakyat termasuk yang masih berhingus sanggup berasak hanya untuk mendengar ucapan Dr Mahathir. Malah imej Muhyiddin juga digarap dengan naratif yang sangat berkesan bagi menimbulkan perasaan simpati bagaimana seorang yang begitu taat dan setia sehingga pernah menggelarkan diri sebagai ‘Totok Umno’ disingkirkan begitu sahaja dari Umno. Naratif politik ini tidak boleh dipadamkan kerana ia kekal sebagai tanda perjalanan politik dalam Umno.

Selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya dan Mahathir kembali mengemudi, polisi politik diperbaharui dengan mengambil kira kekuasaan dominasi parti lain dalam PH. Mahathir digambarkan sebagai individu paling berkuasa dalam menentukan dasar namun sudut pandang lain tidak menampakkan penguasaan total beliau. Jika semasa berkuasa 22 tahun, sekelilingnya merupakan komponen dan sekutu yang tidak akan ‘Panggung Kepala’, namun norma baru politik telah berubah sama sekali. Dengan hanya 13 kerusi Parlimen, siapa tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat sesama mereka? Hanya selepas krisis memuncak baru rakyat dapat kesahihan percakaran benar-benar wujud sehingga pertikaman mulut antara mereka untuk terus berkuasa dirakamkan dan disebarkan pihak tertentu. Tempayan besar telah pecah, air juga melimpah maka segalanya terbongkar dan dek kerana kuasa Pakatan Harapan berkocak teruk hinggalah Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatan. Bermula pula satu polemik baru serta percaturan yang tidak terjangkau pemikiran rakyat selepas kejatuhan BN.

Kini selepas hampir 4 bulan Perikatan Nasional wujud dan mengemudi hala tuju negara, perebutan di pihak PH masih belum berakhir malah episod lebih menarik disajikan untuk penilaian rakyat. Kerajaan campuran PPBM, BN, PAS, GBS dan GPS masih dikategorikan sebagai kerajaan eksperimen menjelang PRU15. Dengan hanya majoriti tipis, PN cuba ditampilkan sebagai model politik kerjasama parti politik ‘Era Alaf 2020’ yang akan menghapuskan penguasaan sebuah parti dalam kerajaan untuk diterima rakyat. Eksperimen ini pada mulanya nampak seperti akan di terima baik semua pihak namun apa erti politik jika tiada percanggahan pandangan? Pihak masing masing mahu tampil sebagai acuan terbaik namun akhirnya ahli parti yang akan menentukan hala tuju parti dan kerjasama antara parti apa yang terbaik untuk survival parti. Kenyataan para pemimpin juga mendatangkan kesan kepada sokongan terhadap parti kerana tersilap memberi pandangan secara peribadi boleh membuat ahli berpaling dan memberontak. Inilah kerugian sesebuah parti bila membuat kerjasama tanpa mengambil kira isi hati penyokong mereka.

Umno sepatutnya telah belajar dari saat kejatuhan panji-panji parti di Putrajaya tetapi mutakhir ini ada kalangan pemimpin sudah hilang rasa ‘Insaf’ mereka. Kembalinya langau-langau politik yang meninggalkan Umno ketika kalah sudah semakin jelas ditambah pula ada kalangan pemimpin Umno yang dahulu jalan menunduk kini mendepang dada kerana berlindungkan PN. Sedar atau tidak Umno bukan tunjang kerajaan sekarang? Apakah dengan kemenangan 6 pilihanraya boleh dijadikan indikator penerimaan rakyat? Berapa ramai kalangan pemimpin Umno menggunakan platform media sosial sebagai penghubung doktrinisasi politik sejak kejatuhan BN? Belum menyentuh platform lain yang digunakan untuk Umno kembali menjadi keutamaan orang Melayu dalam survival norma baru politik.

Jangan lupa ahli bawahan Umno memerhati kelaku semua yang diamanahkan bagi menjaga kepentingan Umno. Mengapa perlu ada pemimpin atasan mengeluarkan kenyataan yang hanya mengelirukan semata-mata mencari publisiti selain memastikan sentiasa berada dalam lingkungan berita media media? Perlukah pemimpin berbuat demikian hanya untuk koloni tertentu dan tanpa sedar impak buruk telah wujud kalangan ahli bawahan. Umno belum kuat dan belum stabil untuk menjadi ‘King Maker’ percaturan politik tanahair dan itu hakikat yang perlu diakui semua. Perhatikan gerakan pihak lawan walau kini kita sebantal sepinggan dengan mereka kerana mimpi tetap berlainan.

Semoga Presiden Umno, Timbalan Presiden, Naib Naib Presiden, Wanita, Pemuda, Puteri Umno sedar dan memberi perhatian apa perasaan ahli bawahan Umno yang memberi undi kepada anda semua.

Rencana sumbangan – Otman Ahmad, Johor Baharu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker