Datuk Saarani Mohamad Dilantik Pengarah PRK DUN Slim

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini memutuskan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Slim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Hj Ahmad Maslan berkata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz pula dilantik untuk menjadi Pengarah Operasi pilihan raya kecil tersebut.

Beliau dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa akan membantu sepanjang kempen PRK DUN Slim yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berlangsung pada 29 Ogos ini.

Semalam SPR mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14. –UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker