Kerajaan Wajar Kembalikan MyBrain15 – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyarankan agar kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dapat menghidupkan kembali program MyBrain15.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, program MyBrain merupakan satu inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak bagi membiayai anak-anak muda di kalangan graduan yang layak untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

“Program ini terbahagi kepada MyPhD, MyPhD Industri dan MyMaster ini mendapat sokongan kuat dari kerajaan BN ketika itu, bahkan dimasukkan sebahagian agenda utama dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan pada tahun 2015 dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM500 juta.

“Rekod sehingga 2016 menunjukkan program ini telah berjaya melahirkan 23,000 doktor falsafah (PhD) dan lebih 50,000 pelajar beroleh pembiayaan dari program ini. Jika diteruskan, MyBrain15 ini diharapkan dapat menghasilkan 60,000 pemegang PhD menjelang 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaubagaimanapun tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO amat berdukacita apabila program yang baik itu telah dipolitikkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menghentikannya atas alasan tiada peruntukan, kekangan kewangan dan bebanan hutang kerajaan.



“Sebaliknya Pemuda UMNO berpendapat program penajaan pengajian di peringkat Sarjana dan PhD adalah salah satu pelaburan yang mampu memberikan kesan positif jangka panjang kepada penjanaan ekonomi negara dari segi pembangunan sektor penyelidikan dan melahirkan modal insan berkualiti.

“Dampak ekonomi akibat pandemik COVID-19 ketika ini sehingga mengakibatkan bertambahnya pengangguran di kalangan graduan secara mendadak, seharusnya diambil peluang untuk kerajaan memperkenalkan kembali MyBrain15 ini,” ujarnya lagi.

Justeru ulasnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan secara serius cadangan mengembalikan semula program MyBrain15 sebagai salah satu inisiatif pemulihan dan penjanaan semula ekonomi negara pasca COVID-19. – UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker