Kolaborasi bangkitkan semula industri pelancongan di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 24 Julai — Dikenali sebagai kota metropolitan, Kuala Lumpur turut menawarkan pelbagai lokasi menarik selain kaya dengan budaya makanan yang pelbagai serta menjadi ‘syurga’ buat penggemar membeli-belah untuk diterokai.
Lihat sahaja pelbagai destinasi menarik yang tersergam indah seperti Kampung Baru, Taman Tugu, Taman Tasik Titiwangsa, Menara Kuala Lumpur, KL Bird Park, Pusat Sains Negara, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Petaling Street.
Namun, ibu negara Malaysia yang pernah sunyi dan sepi seketika akibat pandemik COVID-19, kini bangkit semula menerima kedatangan pelancong domestik selari dengan saranan kerajaan yang menggalakkan percutian dalam negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.
Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilakukan peserta industri pelancongan bagi merancakkan kembali industri dengan menawarkan kombinasi pelbagai makanan, budaya dan alam sekitar yang menarik.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri ‘turun padang’ untuk berkolaborasi dengan pemain industri dalam memperkenalkan pelbagai tawaran yang menarik khas buat warga kota bagi merancakkan pasaran pelancongan domestik.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya bertindak sebagai penyokong kepada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur dalam mempromosikan setiap inci kota metropolitan ini kepada masyarakat.
“Rakyat Malaysia selalu berpandangan yang mereka tahu secara menyeluruh (tentang Kuala Lumpur) tetapi hakikatnya terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang masih kita tidak tahu akan kewujudannya.
“Contohnya, Saloma Link Bridge yang tersergam indah dan telah siap dibina, malah masih ramai yang belum mengetahui inisiatif DBKL yang mengindahkan lorong-lorong belakang di sekitar Bukit Bintang yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong menghargai lokasi terbiar,” katanya kepada Bernama.
Justeru, kata Nor Hisham, platform media sosial dan penggunaan teknologi maklumat akan menjadi ‘senjata’ utama dalam menyusun strategi bagi mempromosikan Kuala Lumpur.
“Kami bercadang mengembangkan penggunaan teknologi dengan melaksanakan Kuala Lumpur Augmented Reality Trail bagi mendapatkan maklumat berkaitan sejarah serta tempat-tempat menarik di ibu kota. Kami percaya usaha ini akan menjadi medium baharu dalam penyampaian kepada pelancong,” katanya.
Kebangkitan semula ini penting memandangkan industri pelancongan dan kebudayaan negara mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik COVID-19 seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini.
Susulan itu, bagi membantu sektor itu bangkit semula, MOTAC menerusi Tourism Malaysia akan memperkukuh inisiatif di bawah pelancongan domestik melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia.
Justeru, kerajaan negeri dan pemain industri dalam sektor pelancongan serta kebudayaan khususnya digesa agar memastikan perkhidmatan serta produk yang ditawarkan berkualiti tinggi, terutama mengenai keselamatan kesihatan dan kebersihan
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Mohd Izal Mohd Nor pula menyeru orang ramai agar merebut peluang untuk bercuti dalam negara berikutan pelbagai tawaran hebat disediakan daripada pemain industri pelancongan selepas teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
Katanya, keputusan kerajaan membenarkan pelancongan domestik memberi peluang kepada kebanyakan pemain industri menawarkan pakej pelancongan dengan potongan harga yang menarik.
“Ini adalah masa yang tepat untuk bercuti dengan peluang merasai pelbagai pakej pelancongan bertaraf ‘kayangan’ pada harga murah. Justeru, orang ramai perlulah mengambil peluang ini untuk menikmatinya walaupun hanyalah sekadar bermalam di hotel,” katanya.
Malah, katanya, kesediaan pemain industri memberi diskaun luar biasa itu mampu merancakkan kembali sektor pelancongan setelah negara terkesan dengan COVID-19.
“Sebagai contoh, di Kuala Lumpur, ia lebih berkonsepkan percutian bersama keluarga. Jadi, pemain industri ini sudah bersedia dengan produk dan tawaran yang sesuai dengan permintaan segmen ini,” katanya.
Apa yang penting, kata Mohd Izal, pengusaha industri ini perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengembalikan keyakinan pengunjung yang datang.
“Setiap premis pelancongan ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti menyediakan pemakaian pelitup muka, menyediakan pensanitasi tangan, menjaga penjarakan sosial dan pengambilan suhu badan sebelum memasuki premis agar penularan COVID-19 dapat dibendung,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng pula berkata kesediaan hotel bertaraf lima bintang menawarkan pakej atau harga istimewa adalah bersifat sementara demi memanfaatkan pelancong domestik dalam tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
“Dengan keadaan sempadan negara yang masih belum dibuka, jadi hotel mengambil peluang menawarkannya kepada pelancong domestik untuk menikmati pengalaman premium dengan kos yang lebih rendah,” katanya.
— BERNAMA