Dua maut motosikal bertembung di Lipis

KUANTAN, 25 Julai — Dua penunggang motosikal maut, selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung antara satu sama lain, di Kilometer 22 Jalan Sungai Koyan-Ringlet, Lipis, kira-kira 150 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, kejadian pada 5.45 petang itu melibatkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laskar Kelas II Muhammad Shakirin Salimi, 20, dan remaja Orang Asli Saiful Rasif, 21 tahun.

Muhammad Shakirin menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, manakala Saiful yang berasal dari Pos Betau, Lipis, menunggang motosikal Yamaha 125ZR.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung di tengah-tengah jalan, menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Azli berkata, Muhammad Shakirin difahamkan dalam perjalanan pulang ke kampung di Kuarters JKR Lipis, kerana bercuti daripada berkursus di Pangkalan TLDM Lumut, Perak selepas menyertai pasukan itu sejak setahun lalu.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Leave a Reply