Rumah ditenggelami banjir kilat, penduduk Kampung Tanaki di Papar alami kerugian

PAPAR, 25 Julai — Banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah Papar semalam telah mengakibatkan penduduknya mengalami kerugian apabila gagal menyelamatkan harta benda masing-masing.

Seorang penduduk Connie Fred Joseph, 36, berkata banjir kilat kali ini adalah yang paling teruk pernah dialami selepas pembukaan laluan Pan Borneo.

Anak kelahiran Kampung Tanaki itu berkata air banjir yang naik setinggi empat kaki telah memusnahkan peralatan dalam rumahnya termasuk barangan di kedai runcit yang diusahakan sejak 14 tahun lalu.

“Dulu memang ada juga air naik tetapi tidaklah sampai menenggelamkan semua barangan dalam rumah. Malam ini kami tidak dapat masak sebab semua barangan elektrik rosak.



“Nasib baik ada pihak yang menghantar bantuan makanan. Semua barangan rumah rosak… tilam, sofa dan pakaian juga basah,” kata beliau ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini malam ini.

Connie berkata rumah ibu dan sepupunya yang terletak berhampiran turut ditenggelami air ketika banjir kilat itu melanda.

Ibu dua anak itu berkata susulan insiden tersebut, persiapan sederhana bagi menyambut Aidiladha tahun ini turut musnah.

Petrus Joseph, 38, yang bekerja sebagai mekanik pula berkata banjir kilat itu telah menyebabkan dua kenderaan milik pelanggannya ditenggelami air.



Bapa dua anak itu tidak menyangka hujan lebat sejak 1 petang menyebabkan bahagian bawah rumahnya ditenggelami air.

Katanya sebelum ini, air hanya naik setinggi paras lutut dan banjir kali ini adalah yang paling teruk pernah dialami sehingga menyebabkan barangan lain musnah malah suis elektrik juga basah.

“Malam ini kami terpaksa bergelap sebab suis elektrik basah, jadi untuk elak sebarang kejadian tidak diingini, kami matikan suis itu,” katanya.

Don Nathaniel Jules, 21, berkata air banjir telah meninggalkan kesan lumpur di bahagian dalam dan luar rumah keluarganya.

“Sekarang ini kami terpaksa membersihkan lantai rumah, lumpur pun sangat tebal,” katanya sambil menambah bahawa beliau berharap masalah itu akan mendapat perhatian pihak yang berkaitan.

Semalam, sejumlah 29 penduduk dari 13 kampung dalam daerah Papar dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Dewan Masyarakat Papar selepas kampung terbabit ditenggelami air banjir.

Selain Kampung Tanaki turut dilanda banjir ialah Kawang, Gusi, Sri Menanti, Pekan Kinarut, Anak Kinarut, Taman Gloxinia, Taman Rose Garden, Kelanahan, Kopimpinan, Beringis, Somboi dan kawasan perumahan flat kereta api Kinarut.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker