Rebat Air Makmur ringankan beban B40

Oleh – Syeikh Baran


Rebat Air Makmur ringankan beban B40
FOTO HIASAN

Kerajaan Pahang memperkenalkan Rebat Air Makmur (RAM) kepada golongan sasar B40 bagi meminimumkan kesan pelarasan kadar tarif air yang berkuat kuasa pada 1 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan memperkenalkan RAM itu hasil daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang yang bermesyuarat, hari ini.

Katanya, golongan B40 yang menerima rebat berkenaan ialah penerima bantuan e-Kasih,penerima bantuan i-Damak serta penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).

“Antara manfaat RAM yang bakal diperolehi oleh mereka yang termasuk dalam kategori yang dinyatakan itu ialah pemberian air secara percuma bagi golongan B40 yang menggunakan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan.

“Tiada kenaikan caj bayaran dikenakan bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air di antara 13 meter padu hingga 24 meter padu sebulan dan bayaran pada kadar baharu lebih rendah berbanding kadar terdahulu selepas pemberian rebat.

“Kenaikan minimum bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air 25 meter padu dan ke atas sebulan menerusi pemberian RAM ialah RM10 sebulan.

“Jumlah keseluruhan golongan sasar yang menerima impak rebat ini ialah seramai 38,000 pengguna dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.6 juta setahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy berkata, rebat akan diberi secara automatik kepada semua pengguna dalam golongan sasar, manakala bagi pengguna yang tergolong dalam golongan sasar namun tidak menerima rebat secara automatik atas sebab tertentu, boleh memohon dan menyemak di kaunter pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) daerah, masing-masing bermula esok.

Katanya, skim rebat itu antara lain membuktikan kerajaan negeri tetap mendengar pandangan pelbagai pihak ketika pelarasan tarif air tidak dapat dielakkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air pada masa hadapan.

“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi ‘menang menang’ kepada semua pihak yang terlibat.

“PAIP sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi ‘menang menang’ kepada semua pihak yang terlibat.

“Selama 40 tahun Kerajaan Pahang tidak melakukan penyelarasan tarif air dan sudah tiba masanya kerajaan negeri memulakan langkah bagi memastikan keterjaminan, meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan bekalan air di masa hadapan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker