Serang hendap van duit

SERANG hendap van milik sebuah syarikat keselamatan yang membawa sejumlah wang sebelum membelasah tiga pengawal keselamatan yang menaiki kenderaan itu.

Kumpulan perompak kemudian bertindak membakar van berkenaan sebelum melarikan beberapa guni dipercayai berisi wang berjumlah jutaan ringgit.

Sumber berkata, kejadian dikesan berlaku sekitar jam 11 pagi semalam ketika van milik syarikat keselamatan itu sedang menjalankan tugas berhampiran Bandar Country Home, Rawang, Selangor.

Menurutnya, kumpulan suspek yang dipercayai mengekori van itu dikatakan menahan dan menyerang tiga pengawal keselamatan yang menaiki kenderaan berkenaan.

“Penjenayah kemudian memandu dan melarikan van keselamatan itu menuju ke Sungai Bakau di Rawang sebelum membakar van keselamatan itu.

“Sebelum melarikan diri, suspek merampas bungkusan di dalam van serta barang peribadi milik semua pengawal keselamatan terbabit,” katanya.

Susulan kejadian itu, saksi yang melihat kejadian segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

“Difahamkan satu jentera dari balai bomba dan penyelamat (BBP) Rawang bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran. Api bagaimanapun memusnahkan 80 peratus van keselamatan itu.

“Operasi memadamkan kebakaran itu tamat pada jam 12 tengah hari dan siasatan kes diambil alih oleh pihak polis,” katanya.

VAN syarikat keselamatan ditinggalkan sebelum dibakar berhampiran kilang membuat cerucuk.
VAN syarikat keselamatan ditinggalkan sebelum dibakar berhampiran kilang membuat cerucuk.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran van itu jam 11.10 pagi.

“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat sebuah van milik syarikat keselamatan sedang terbakar,” katanya ketika dihubungi.

Zaidi berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk memadam kebakaran itu.

“Kebakaran itu menyebabkan van berkenaan terbakar sebanyak 80 peratus. Kes itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Rajan, 60-an, mendakwa kejadian berlaku berhampiran kilang membuat cerucuk.

“Bagaimanapun kilang itu ditutup operasi sementara semalam berikutan tidak cukup pekerja. Saya hanya mengetahui kejadian yang berlaku apabila melihat banyak kereta peronda polis dan bomba di lokasi,” katanya.

API  memusnahkan 80 peratus van keselamatan.
API memusnahkan 80 peratus van keselamatan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker