Singapura tetapkan tanggungjawab, hak istimewa pembangkang

SINGAPURA: Kerajaan Singapura membuat ketetapan berhubung tugas dan hak istimewa bagi Ketua Pembangkang di Parlimen ke-14 republik itu.

Antara lain ia akan menyaksikan pemimpin itu mengetuai barisan pembangkang menyuarakan pandangan alternatif dalam perbahasan Parlimen mengenai dasar, rang undang-undang dan usul.

Ketua pembangkang juga akan memimpin dan menganjurkan pemeriksaan terhadap tindakan serta kedudukan kerajaan di Parlimen.

Beliau juga akan dirujuk berhubung pelantikan anggota pembangkang ke Jawatankuasa Pemilih, termasuk Jawatankuasa Tetap Pemilih seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.



Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh pejabat Speaker Parlimen dan pemimpin Dewan hari ini.

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung Parti Pekerja, Pritam Singh sebagai ketua pembangkang.

Kerajaan akan memberikan beliau sumber dan jumlah pekerja yang sesuai, bagi membolehkannya melaksanakan tugasnya.

Hsien Loong berkata jawatan ketua pembangkang turut wujud secara rasmi dalam sistem parlimen Westminster yang lain seperti Australia dan United Kingdom.



Kenyataan terbabit mengaku bahawa jawatan itu tidak dinyatakan sama ada dalam perlembagaan republik berkenaan, mahupun Perintah Tetap Parlimen.

Jawatan ketua pembangkang tidak pernah wujud secara rasmi pada 1950-an, mahupun awal 1960-an, semasa terdapat jumlah anggota dewan perundangan yang besar di pihak pembangkang.

Namun, menurut kenyataan itu, dengan merujuk kepada ucapan pada majlis angkat sumpah perdana menteri, keputusan pilihan raya umum 2020 menunjukkan ‘keinginan kuat dalam kalangan rakyat Singapura untuk menyaksikan kepelbagaian pandangan politik yang lebih luas dan kecenderungan ini akan berkekalan’.

“Pelantikan ketua pembangkang yang khusus akan memenuhi keinginan ini, dan pada masa yang sama, membolehkan sistem politik kita berkembang dengan cara yang mengekalkan kepekaan kita terhadap kepentingan negara,” katanya.

Bagi membolehkannya menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua pembangkang, Pritam, yang partinya memenangi 10 daripada 93 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini, akan diberi beberapa hak istimewa dan sumber tambahan.

Antaranya ialah di Parlimen, beliau akan diberikan hak sebagai yang pertama dalam kalangan Ahli Parlimen memberikan maklum balas, dan mengajukan soalan utama kepada menteri berhubung dasar, rang undang-undang dan usul, bergantung kepada konvensyen ucapan sedia ada.

Sebagai tambahan kepada maklumat atau data yang diberikan kepada ahli Parlimen, ketua pembangkang juga akan menerima taklimat sulit oleh kerajaan berhubung perkara terpilih berkaitan keselamatan negara dan hubungan luar, serta semasa darurat atau krisis negara, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker