UMNO Perak tidak ambil mudah PRK DUN Slim

Datuk Saarani Mohamad

IPOH, 28 Julai — UMNO Perak tidak akan memandang mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bulan depan walaupun PKR telah menyatakan tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata seluruh jentera dan akar umbi parti akan bekerja keras bagi memastikan DUN Slim kekal milik Barisan Nasional (BN).

“Arahan kita kepada jentera jangan ambil mudah sama ada calon bebas atau Pakatan Harapan (PH), kita akan tetap membuat persiapan untuk memenangi PRK ini. Asal (kalau) ada sahaja yang bertanding melawan kita, kita beranggapan mereka adalah musuh yang berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang turut disertai 250 kakitangan jabatan dan agensi kerajaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ahad lepas Timbalan Pengerusi PKR Perak Datuk MA Tinagaran menjelaskan keputusan untuk tidak bertanding di DUN Slim dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: