SAYA DIHUKUM KERANA MEMBANTU RAKYAT – NAJIB RAZAK
TEKS PENUH SIARAN ‘LIVE’ NAJIB RAZAK
[KGVID]https://my-tv.online/wp-content/uploads/2020/08/VID-20200803-WA0042.mp4[/KGVID]
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Apa khabar semua?
Sahabat-sahabat saya, ahli-ahli parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta semua Malaysia yang dikasihi sekelian.
Alhamdulillah, sebagaimana yang rakan-rakan lihat sekarang ini, saya sihat macam biasa.
Saya faham dan sedar, ramai yang tertanya-tanya, bimbang dan khuatir tentang keputusan mahkamah tinggi berhubung kes SRC yang dijatuhkan terhadap saya minggu lepas.
Jadi, saya gunakan peluang ini untuk menjelaskan sedikit dari sudut pandangan saya sendiri.
Kita percaya keputusan yang diambil seorang hakim ini, sebenarnya membuka ruang yang lebih besar kepada saya untuk membersihkan nama saya melalui proses rayuan.
Kita juga yakin dengan proses Mahkamah Rayuan yang melibatkan tiga atau lima hakim yang bijaksana.
Sebagaimana yang dijelaskan peguam saya pada sidang media selepas keputusan Mahkamah Tinggi minggu lepas, kita percaya hakim telah melakukan kekhilafan segi undang undang semasa membuat keputusan.
Antaranya, hakim memberitahu bahawa TIADA KEPERLUAN untuk membuktikan niat jenayah dan juga TIADA KEPERLUAN untuk menunjkkan bahawa wang dalam akaun saya adalah benar-benar berasal dari KWAP.
Hakim juga menyatakan bahawa beliau TIDAK PERCAYA wujudnya derma daripada Kerajaan Diraja Arab Saudi kepada saya.
Sedangkan Ini BERTENTANGAN dengan kenyataan-kenyataan saksi dari pihak pengurusan bank serta pegawai kanan SPRM sendiri yang mengesahkan dalam mahkamah bahawa ratusan juta Ringgit pernah dibayar dari akaun bank milik Menteri Kewangan Arab Saudi terus ke akaun di bawah nama saya.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim menjelaskan bahawa pihak pendakwa raya juga TIDAK PERNAH membuktikan wujudnya niat jenayah untuk menyalahgunakan wang bagi perbelanjaan peribadi, apabila hakim menyebut bahawa lebih 99% daripada wang yang dibelanja dari akaun di bawah nama saya, adalah untuk perbelanjaan CSR dan kegiatan politik.
Bagaimanapun, saya diarahkaan untuk membayar denda sebanyak RM210 juta ke atas RM42 juta yang diterima di mana 99 peratus dibelanjakan untuk tujuan CSR iaitu RM5 untuk setiap RM1 yang dibelanja, dan hakikatnya ianya BUKAN perbelanjaan peribadi.
Seperti saya nyatakan tadi, mahkamah sendiri telah mengesahkan 99 peratus BUKAN untuk perbelanjaan peribadi.
Misalnya, transaksi yang terlibat dalam kes SRC ini termasuk sumbangan saya sebanyak RM400,000 kepada Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan bagi kegunaan harian menjaga anak-anak yatim dan kos persekolahan mereka.
Dan sebab sumbangan itu, saya dihukum denda RM2 juta kerana sumbangan RM400,000 untuk keperluan anak-anak yatim dan kos persekolahan mereka.
Saya dihukum kerana membuat kebajikan menjaga anak yatim dan persekolahan mereka.
Saya juga dikenakan denda RM3.25 juta kerana pernah menghulurkan sumbangan RM650,000 kepada UMNO Johor, Pulau Pinang dan Kedah bagi melaksanakan program-program kebajikan mereka.
Banyak lagi contoh-contoh perbelanjaan seperti ini yang bukannya untuk kepentingan peribadi ataupun untuk keselesaan hidup saya tetapi untuk tujuan rakyat dan untuk parti.
Sebab itu, ramai yang berjumpa saya untuk menyampaikan salam serta menyuarakan sokongan mereka selepas keputusan hakim diumumkan, berpendapat saya telah berkorban dan dikorbankan selepas saya dijatuhkan hukuman yang amat dahsyat ini.
Berdasarkan sokongan dan dokongan padu kepada saya serta berdiri teguh atas kebenaran, saya berikrar akan terus berjuang menentang keputusan amat tidak adil ini.
Saya akan memanfaatkan sepenuhnya proses rayuan ini dengan penuh kezaman dan saya akan terus melawan dan berjuang demi rakyat.
Yang pokoknya saya tak pernah minta mahupun ditawar RM42 juta sebagai rasuah. Pihak Pendakwaraya tidak mengemukakan sekelumit bukti pun yang mengesahkan perkara ini berlaku.
Sebab tu saya telah melafazkan sumpah WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI di atas hakikat dalam Mahkamah bahawa saya tidak pernah meminta mahupun ditawarkan jumlah tersebut.
Saya berdoa semoga hakim-hakim di Mahkamah Rayuan akan menggunakan kebijaksanaan mereka apabila membuat keputusan nanti demi prinsip keadilan.
Demikian sikit sebanyak penjelasan saya buat ketika ini.
InsyaAllah jika diizinkan-Nya, kita akan bersua lagi pada masa akan datang.
Kepada Allah saya berdoa, memohon diberikan keadilan untuk saya.
Sekian.
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.