100 Hari PN Dengan PH Ibarat Langit Dengan Bumi – Jalaluddin

 

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata, 100 hari kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) adalah sangat berbeza dengan 100 hari di bawah Pakatan Harapan (PH) di mana rakyat sudah dapat melihat dengan jelas kerajaan mana yang boleh membela nasib mereka.

Jelas beliau, apa yang dilakukan oleh kepimpinan PN diterima baik oleh rakyat apatah lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang memberi kesan buruk bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga ekonomi negara.

“100 hari PN dengan 100 hari PH ibarat langit dengan bumi. Rakyat mengharapkan PH boleh mentadbir negara jauh lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) tapi sayangnya ini tidak berlaku sehinggakan negara begitu goyah.



“Bila PH tumbang dan PN mengambil alih, rakyat mula dapat melihat dan menerima baik apa yang dibuat oleh pentadbiran PN.

“Jadi, kini kita perlu fikir bagaimana untuk mengekalkan perkhidmatan kepada rakyat sama ada berlaku PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) atau ketika PRK (Pilihan Raya Kecil) Slim dan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah,” ujar beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Jalaludin berkata demikian ketika menjadi tetamu undangan dalam segmen Diskusi Dari Parlimen yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online, Isnin malam.

Tambah Jalaludin, beliau yakin rakyat kini sudah dapat menilai dengan baik dan mereka tidak akan membuat pilihan yang salah sebagaimana yang berlaku pada PRU-14 yang lalu.



“Rakyat tolak PH sebab perbalahan dalaman mereka sendiri, perbalahan di luar kawalan sehingga rakyat tertekan dengan keadaan ekonomi yang semakin memburuk, hutang negara semakin bertambah, pembuangan pekerja dan pelbagai pendekatan PH yang membimbangkan rakyat.

“Cuma sekarang ini kita perlu fokus dan meneruskan menjaga rakyat agar rakyat terus mempercayai kita,” ujar beliau lagi.

Sementara itu seorang lagi tetamu jemputan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, jika dahulu rakyat memandang negatif kepada UMNO tetapi kini pandangan itu mula berubah apabila melihat jiwa besar yang diketengahkan oleh parti keramat ini.

“Rakyat dapat melihat bahawa UMNO berjiwa besar. Walaupun mempunyai kerusi terbanyak tetapi kita letak itu ketepi dan letak keutamaan negara sebagai perkara utama. Kita sokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana kalau kita tidak bersama, apa akan jadi kepada negara ini terutama ketika negara sedang berhadapan dengan COVID-19.



“Cuma sekarang ini sudah sampai masa semua pihak berhenti menyerang sesama sendiri dan mencari titik persamaan demi kestabilan politik.

“Rakyat tertanya-tanya kita akan pergi sebagai PN atau MN (Muafakat Nasional)? Jadi, sudah sampai masa kita kena ketepikan perbezaan dan cari titik pertemuan. Kalau kita masih ada serangan antara kita maka rakyat akan menilai kita dan saya yakin rakyat akan kembali menghukum nanti sekiranya kita terus berbalah,” ujar Ketua UMNO Bahagian Subang itu. – UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button