BANTAHAN UMNO DAN PAS GAGALKAN PILIHANRAYA PBT

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberitahu bawah pentadbiran Perikatan Nasional, pihaknya tidak akan melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), selepas mendapat bantahan ahli Parlimen Umno dan PAS.



Zuraida berkata, langkah-langkah untuk melaksanakan pilihan raya PBT tidak boleh dilaksanakan secara drastik, memandangkan masyarakat masih tidak bersedia.

Sebaliknya, kementerian akan mengambil “langkah kecil” meminda Akta Kerajaan Tempatan.

“KPKT akan ambil langkah-langkah kecil untuk tingkatkan demokrasi di peringkat PBT, memandangkan kerajaan PN tidak akan laksanakan pilihan raya PBT.

“Ia juga satu yang saya lihat sebagai langkah drastik, memandangkan masyarakat kita tidak bersedia untuk laksanakan pilihan raya PBT,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.



Terdahulu, di Dewan Rakyat beberapa ahli Parlimen pemerintah membantah hasrat melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Antaranya Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang kecewa dengan kenyataan Zuraida sebelum ini.

Noh meminta Zuraida melupakan manifesto Pakatan Harapan sebelum ini. Tegasnya, sebarang keputusan kerajaan perlu mengambil kira perasaan ahli gabungan PN yang lain.

Sebelum itu, Zuraida menceritakan pengalamannya dalam lawatan rasmi ke negara dunia ketiga seperti Uganda dan Reanda yang mengamalkan pilihan raya PBT sejak puluhan tahun.

“Apabila diadakan pilihan raya PBT, ahli majlis mereka setaraf dengan menteri, boleh berhujah di forum-forum antarabangsa.

“Tetapi bandingkan dengan pelantikan ahli-ahli majlis dilantik pemimpin politik di negara kita, saya ingat tidak sampai 10% dari 3,000 wakil PBT memiliki kualiti sedemikian,” katanya.

Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian menyasarkan usul pilihan raya kerajaan tempatan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.

Beliau berkata, kementeriannya sejak 2018 menyediakan kertas Kabinet dan menubuhkan 2 jawatankuasa berhubung perkara itu.

Katanya lagi, pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan belanja keseluruhan RM308 juta bagi 154 PBT atau RM2 juta bagi setiap PBT.

Beliau mengesahkan perdana menteri pentadbiran lepas, Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Sumber – FMT



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker