Dua jam baca 164 pertuduhan

Oleh – Syeikh Baran


Dua jam baca 164 pertuduhan
Abdullah Zaik (depan tengah), Awang Suffian (barisan kedua tengah) dan Khairuddin ( barisan ketiga tengah) ketika dibawa anggota SPRM bagi prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

Tiga termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 164 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, penipuan dan pecah amanah bernilai keseluruhan RM39.53 juta antara 2018 hingga 2023.

Tertuduh, Awang Suffian Awang Puit, 52, sebagai CEO dan Abdullah Zaik Abd. Rahman, 58 merupakan Pengerusi Eksekutif Aman Palestin serta Khairuddin Mohd. Ali, 49 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Berdasarkan pertuduhan, Awang Suffian dan Abdullah Zaik didakwa masing-masing 52 pertuduhan pecah amanah harta milik Aman Palestin bernilai RM20,946,498.80 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.

Mereka juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan penipuan dengan memperdayakan Aman Palestin Sdn. Bhd menyerahkan wang keseluruhan RM39,150,000 kepada Samudra Champa Sdn. Bhd (Samudra Champa) bagi pembelian emas seberat dua hingga 12 kilogram (kg).

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Mereka sebagai Pengarah Syarikat Samudra Champa turut menghadapi 19 pertuduhan masing-masing kerana menggunakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM12,833,772.16

Ini bagi pembelian rumah kedai dua dan tiga tingkat serta semi-D antaranya di Kajang dekat sini selain Batu Pahat, Johor dan Kangar, Perlis serta Kota Kinabalu di Sabah.

Selain itu, wang berkenaan juga digunakan bagi pembelian empat lot tanah masing-masing di Hulu Selangor dan Batang Kali selain kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Khairuddin yang merupakan pengarah sebuah syarikat pelaburan pula didakwa tiga pertuduhan yang sama berjumlah RM6,038,016.60.

Justeru, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di empat cawangan bank dan pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi dekat sini antara 2018 hingga 2023.

Prosiding bagi pembacaan 164 pertuduhan tersebut mengambil masa selama dua jam bermula pukul 10.35 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa SPRM Farhana Ismail.

Manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Siti Mardhiyyah Zamani.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1 juta kepada Awang Suffian dan Abdullah Zaik manakala Khairudin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin.

“Mereka juga dikehendaki membayar separuh daripada nilai jaminan itu pada hari ini dan bakinya sebelum 13 Mac depan dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” tegasnya.

Sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh pada 13 Mac depan.

Sumber – KOSMO!ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker