DUN Kelantan rakam ucapan takziah atas kejadian letupan di Beirut

KOTA BHARU, 10 Ogos — Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Lubnan yang digegarkan dengan letupan di ibu kotanya, Beirut pada Selasa lepas.

Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berkata beliau yang mewakili DUN Kelantan turut mendoakan agar Lubnan kembali pulih dalam masa terdekat daripada insiden berkenaan.

“Saya bagi pihak Dewan Negeri Kelantan, mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Lubnan dan turut serta bersedih atas musibah letupan besar yang berlaku di ibu kota Beirut, Lubnan pada petang Selasa, 4 Ogos yang lalu yang mengorbankan lebih 135 orang dan lebih 5,000 orang cedera parah.

“Semoga Lubnan kembali pulih dalam masa terdekat insya-Allah,” katanya ketika ucapan alu-aluan sempena Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga DUN Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.



Dalam ucapannya, Abdullah turut mengingatkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam usaha bersama memerangi pandemik COVID-19.

“Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita masih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 dan negara kita juga masih tidak bebas sepenuhnya daripada musibah ini. Oleh itu kita hendaklah berada dalam keadaan waspada selalu dengan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh KKM untuk sama-sama memutuskan rantaian virus yang berbahaya ini.

“Jangan lupa untuk kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negeri dan negara kita diselamatkan oleh-Nya daripada sebarang musibah,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker