PRK Slim: Jangan Terlalu Selesa Dengan Kemenangan Lepas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera parti jangan terlalu berasa selesa dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam siri pilihan raya kecil (PRK) yang lalu.

Ujar beliau, semua pihak harus mengenepikan rasa selesa dengan kemenangan kerana isu dan suasana di setiap PRK adalah berbeza.

“Jangan berasa selesa dengan kemenangan yang lalu kerana biarpun profil di kalangan pengundi tetap sama namun isu dan suasana berbeza. Kita kena ketepikan keselesaan itu agar kita bekerja dengan lebih bijaksana dan penuh kekuatan serta penuh komitmen untuk menangkan calon BN.

“Walaupun di atas kertas kemenangan berpihak kepada BN kerana undi yang diberikan kepada calon PAS dan PPBM dulu akan diberikan kepada kita tapi harus ingat itu hanya di atas kertas. Ia perlu diterjemahkan dengan kerja keras bagi memenangi hati pengundi di sini,” ujar beliau kepada media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Jentera dan Penyerahan Bahagian Angkat PRK DUN Slim di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.



Ketika ditanya berkaitan kemungkinan parti bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak calon di PRK ini jelas Zahid, BN dan UMNO sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka menentang mana-mana calon yang akan bertanding PRK ini samada calon tersebut dari parti atau bebas.

Untuk rekod, PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon PPBM Mohd Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker