Pemuda Sokong Keputusan UMNO Tidak Sertai PN Jika Didaftarkan Sebagai Parti – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Pemuda UMNO mendukung penuh serta menyokong keputusan kepimpinan tertinggi parti untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu daripada parti komponen sekiranya PN ingin didaftarkan.

Malah pergerakan itu menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dijadikan lambang yang hendak digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bagi kita yang paling penting persepakatan harus diadakan supaya dalam PRU akan datang tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dan paling utama kita harus menampilkan kepada rakyat bahawa kita dapat mewujudkan kerajaan yang jauh lebih baik daripada apa yang mereka alami sepanjang 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) yang haru-biru.



“Pada mesyuarat tadi juga kita membincangkan tawaran-tawaran baru yang akan kita kemukakan kepada anak-anak muda. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan mengadakan program ‘road show’ untuk kita bertemu dengan anak muda di semua peringkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Dalam pada itu berhubung kenyataan calon Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai bendera Perikatan Nasional (PN) akan digunakan bagi PRN Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi, Asyraf menyifatkan kenyataan berkenaan hanya sekadar bahan kempen.

“Saya rasa kenyataan itu hanya sekadar kenyataan untuk bahan kempen bertanding sebagai Ketua Pemuda Armada PPBM dan tidak lebih daripada itu sebab di peringkat kepimpinan setakat ini jelas bahawa UMNO tidak akan menyertai PN dan PN adalah sebuah parti yang belum pun berdaftar.



“Jadi mana mungkin untuk dijadikan parti bertanding dalam PRN Sabah. Beliau seharusnya mengambil kira melihat semangat yang ada dalam konteks kerajaan hari ini  dan apa juga kenyataan yang hendak dikeluarkan janganlah melangkaui sehingga mengguris perasaan rakan-rakan dalam kerajaan,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button