Pemuda UMNO Gerakkan Langkah Untuk PRK DUN Slim Dan PRN Sabah – Dr Asyraf

 

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Pemuda UMNO telah menggerakkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Perak yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri itu, Ariff Majid dalam usaha membantu parti sepanjang kempen pada PRK berkenaan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata gerak kerja telah digerakkan sejak dua minggu yang lalu dan semua Pemuda bahagian di seluruh Perak akan diletakkan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai bahagian angkat.

Menurut beliau fokus antara lain adalah mengeluar seberapa banyak pengundi muda di setiap PDM dan seterusnya menarik pulang seberapa ramai pengundi muda yang berada di luar untuk mengundi dan untuk itu segala mekanisme akan dimanfaatkan termasuklah media sosial dalam usaha melicinkan gerakan kempen kelak.

“Dengan kekangan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berlangsung kita telah berbincang kaedah bagaimana program kempen sepertimana PRK DUN Chini baru-baru ini dan insya-Allah kita akan bekerjasama dengan rakan-rakan parti komponen terutama Pemuda MCA dan MIC untuk gerak kerja secara bersama.



“Di samping itu kita juga mendapat dokongan daripada Pemuda Armada Perak yang telah menyatakan kesudian untuk bersama-sama dan sudah pastilah Dewan Pemuda PAS Malaysia serta Dewan Pemuda PAS Perak akan turut serta. Kita akan melancarkan jentera Pemuda pada hari yang sama penamaan calon Sabtu ini.

“Kita juga turut menghantar cadangan kepada pemimpin tertinggi untuk mencalonkan Ketua Pemuda Tanjung Malim yang juga Exco Pemuda UMNO, Mohamad Amin Othman sebagai calon BN pada PRK tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau menyatakan selaras dengan autonomi UMNO negeri berkenaan, pergerakan itu juga turut memberikan autonomi kepada Pemuda UMNO negeri tersebut untuk merencana termasuklah soal mencadangkan nama-nama calon di kalangan anak muda untuk diketengahkan.



“Kita telah mengadakan pertemuan khas dengan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah dan pada minggu ini akan diadakan pelancaran jentera Pemuda BN Sabah. Kita boleh katakan bahawa Pemuda UMNO dan rakan kita dalam komponen BN Di Sabah sudah bersiap sedia untuk berdepan PRN yang akan diumumkan oleh SPR pada bila-bila masa,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker