KERTAS SIASATAN TERHADAP PENGASAS HOT BURGER DIBUKA
KERANA PULUT SANTAN BINASA
POLIS sudah membuka kertas siasatan terhadap Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima pihaknya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
“Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Mior berkata, Asri akan dipanggil memberi keterangannya dalam masa terdekat.
“Kita akan panggil dia dalam minggu ini,” katanya.
Portal Harian Metro hari ini melaporkan peniaga burger kontroversi, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat.
Dakwaan itu yang dibuatnya itu tular di media sosial serta ramai netizen mengecam kata-katanya itu.
Asri dalam video itu mendakwa kebanyakan yang menyertai polis dan tentera tidak menjaga solat.
Sumber – METRO