Muktamar PAS ke-66 berlangsung ringkas secara dalam talian

KOTA BHARU, 27 Ogos — Muktamar PAS ke-66 yang dijadual berlangsung pada 13 Sept ini akan diadakan secara ringkas menerusi dalam talian yang disiarkan secara langsung di media sosial bagi membolehkan semua ahlinya dapat mengikuti perhimpunan tahunan parti itu.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata langkah itu berikutan hanya 300 perwakilan dibenarkan menghadiri perhimpunan berkenaan, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, dalam situasi norma baharu hanya Yang Dipertua (YDP) kawasan serta empat perwakilan dari Kelantan dibenarkan hadir memandangkan muktamar diadakan di negeri itu.

“Jika sebelum ini kehadiran perwakilan mencecah sehingga 1,200 orang, namun memandangkan kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kemungkinan dilanjutkan selepas Ogos ini, jadi kami mengambil inisiatif dengan mengehadkan jumlah kehadiran hanya 300 orang.

“Perwakilan negeri lain pun tiada, kecuali Yang Dipertua PAS kawasan. Cuma untuk Kelantan kita benarkan empat orang perwakilan setiap kawasan. Bagi perwakilan lain boleh mengikuti muktamar ini secara dalam talian,” katanya selepas perasmian sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Exco Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat.

Muktamar kali ke-66 itu akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa dekat sini dan difahamkan mengikut norma baharu, ia berlangsung tanpa kehadiran pemerhati.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kerajaan negeri berusaha menambah prasarana sukan dari semasa ke semasa sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

“Kami berharap dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan memberi peluang Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA 2024, aktiviti sukan di negeri ini semakin berkembang,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker