PAS berhasrat tandingi enam hingga 10 kerusi pada PRN Sabah – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — PAS berharap dapat bertanding di enam hingga 10 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata parti itu telah menyerahkan senarai calonnya kepada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional untuk keputusan akhir.

“Kami sedang merundingkan jumlah kerusi, mungkin enam hingga 10 kerusi berbanding semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu lapan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

DUN Sabah telah dibubarkan pada 30 Julai untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang ditetapkan pada 26 Sept dengan penamaan calon pada 12 Sept.

Pada PRU14, sejumlah 60 kerusi DUN dipertanding namun pada Julai tahun lepas, Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang menambah bilangan kerusi DUN Sabah kepada 73.

Mengulas lanjut senarai calon, Tuan Ibrahim yang kini Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata antara mereka ialah bekas pegawai daerah, pensyarah universiti, jurutera dan tokoh Sabah lain yang berpengaruh.

“Jentera kami telah melakukan persediaan asas dengan kerja amal menjadi fokus utama.

“Jadi sekarang kami menunggu hasil rundingan itu (dengan Muafakat Nasional) yang kami percaya akan dimuktamad tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga berharap pada kali ini, sejarah tidak akan berulang seperti ketika mereka kalah tanpa memenangi sebarang kerusi di Sabah semasa PRU14.

— BERNAMA

Leave a Reply