Angkat muzik tradisional

Band yang sering memperjuangkan elemen tradisional dalam karya seni mereka iaitu Darmas kini tampil dengan dua single baharu berjudul Nelayan Moden dan Pemegang Dunia.

Darmas berkolaborasi dengan John Bear bagi Nelayan Moden manakala Pemegang Dunia berduet dengan Anggota kumpulan Nastia, Leo Azman.

Darmas dilihat antara pemuzik yang sentiasa membawa gelombang pembaharuan kepada elemen tradisional melalui adaptasi ke dalam muzik arus perdana.

Menerusi dua buah lagu itu, Darmas bukan sahaja mengekalkan instrumen seperti Rebana dan Kulintangan, malah Darmas berjaya membawa elemen muzik Melayu.

Tidak dinafikan, melalui mesej yang padat dan gaya penulisan lirik yang unik ia menjadikan lagu Nelayan Moden memiliki rohnya yang tersendiri.

John Bear yang juga penyanyi kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang berasa amat bertuah apabila mendapat pelawaan untuk menyanyikan lagu itu.

“Pada mulanya saya amat cemas dan gementar nak menyanyikan lagu ini. Saya sedar dengan kemampuan sendiri tetapi disebabkan kepercayaan dan tunjuk ajar, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.” katanya.

Bercerita lanjut mengenai proses rakaman, John berkata, masing-masing memberikan sepenuh tenaga sekali gus mudah mencipta keserasian.

“Saya harap lagu berentak irama tradisional bernuansa nusantara ini kembali diterima ramai terutama golongan anak muda yang mungkin sebelum ini kurang ada pilihan,” katanya.

Sementara itu, menerusi lagu Pemegang Dunia pula mempertaruhkan gabungan unik muzik baharu dan lama.

Kata Leo Azman, kerjasama menerusi lagu Pemegang Dunia berjalan dengan lancar dan pantas.

“Proses rakaman berlangsung dengan sangat mudah. Antara lagu yang paling sekejap saya rakamkan.

“Saya sudah mengenali kumpulan Darmas sejak zaman kolej jadi keserasian itu sudah ada,” katanya.

Tambahnya, genre Pemegang Dunia tidak jauh dari apa yang dibawa bersama Nastia.

“Mungkin sebab itu juga Darmas memilih saya untuk berkolaborasi. Saya harap Darmas akan terus hasilkan karya-karya nusantara seperti ini. Genre mereka ini sangat kurang di Malaysia,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjasama dengan dua penyanyi berbakat ini, penerbit bersama kumpulan Darmas, Purnama Maqasuci berkata, mereka sentiasa bereksperimentasi dengan setiap karya yang ingin diketengahkan.

“Bagi Darmas pula, kami mahu membuatkan pendengar berfikir selain dapat menyentuh perasan mereka serta menyampaikan mesej yang baik. Semoga muzik kita terus berevolusi.” katanya.

Nelayan Moden dan Pemegang Dunia sudah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati di kesemua platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBox dan YouTube Music.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker