Dua lelaki terlibat lebih 10 kes samun warga asing ditahan

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan

BALIK PULAU, 28 Ogos — Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam lebih 10 kegiatan samun menggunakan parang termasuk terbaharu dalam kes melibatkan seorang mangsa wanita warga Indonesia pada 13 Ogos lepas, berjaya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata dua lelaki berumur 18 dan 23 tahun itu ditahan di Gelugor pada 9 malam tadi hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan pihak polis.

“Siasatan mendapati dua lelaki itu terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan sebilah parah di Bayan Lepas membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun yang sedang berjalan kaki ke stesen bas.

“Suspek yang memakai jaket hitam kemudiannya telah melarikan beg sandang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM30, namun mereka tidak mencederakan mangsa yang bekerja kilang itu kerana dia tidak melawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya siasatan lanjut mendapati, dua lelaki yang positif dadah jenis methamphetamine itu disyaki terlibat dengan tujuh kes samun di Barat Daya dan empat lagi di Timur Laut namun, siasatan lanjut masih dijalankan kerana polis percaya mereka terlibat dalam banyak lagi kes samun bersenjata.

Menurutnya, modus operandi yang dilakukan adalah dengan mengesan khususnya tempat tinggal wanita warga asing untuk melakukan samun sama ada menceroboh masuk rumah atau di luar sekitar kawasan perumahan mangsa.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker