PAS sedia guna lambang dacing di PRN Sabah

MARANG – Pas bersedia menggunakan lambang parti Barisan Nasional (BN) iaitu dacing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas terbuka dengan sebarang keputusan yang dicapai oleh rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya mereka memutuskan untuk menggunakan logo BN.

“Pas tiada masalah guna simbol BN. Pas boleh guna simbol BN di Sabah. Kalau keputusan menggunakan simbol masing-masing, guna simbol masing-masing kerana saya difahamkan ada parti di Sabah yang nak buat simbolnya sendiri. Terpulang.. kita tak ada masalah.

“Kita nak guna simbol masing-masing pun boleh, kita terbuka. Nak guna simbol PN pun boleh, belum ada tapi sudah ada cadangan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan BN yang akan menggunakan lambang parti itu kerana pengundi sudah terbiasa dengannya, sebagaimana yang diumumkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah itu menjelaskan, biro politik dan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat sudah memaklumkan kepada parti-parti rakan komponen PN bahawa calon BN akan menggunakan lambang dacing.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, ia bukanlah kali pertama parti itu menggunakan lambang lain kerana Pas pernah berbuat demikian pada tahun 1974, ketika Pas masih berada dalam BN.

Sementara itu, ditanya perkembangan PRN Sabah, beliau menjelaskan, Pas mempunyai pengalaman dan pernah bertanding di Sabah.

“Adapun kita nak bertanding banyak mana, bergantung hasil perbincangan antara PN,” katanya.

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker