5 Putera Idaman Menjadi Buruan Gadis Di Dunia

LONDON: Tampan, kaya dan ternama. Itu pesona dimiliki beberapa putera di beberapa negara yang sehingga kini masih belum berpunya.

Justeru, populariti individu ini menyebabkan ramai gadis yang berangan-angan untuk menjadi suri hati kepada individu berkenaan.

Malah, ada antara putera ini yang turut mempunyai bilangan pengikut media sosial yang ramai.

Berikut adalah senarai lima putera yang mungkin masih tercari-cari pasangan mereka.



PUTERA DENMARK, NIKOLAI WILLIAM ALEXANDER FREDERIK, 20.

Putera berusia 20 tahun ini adalah anakanda kepada Putera Joachim dan isteri pertamanya, Alexandra.

Wajah tampan dimiliki menyebabkan Putera Nikolai menjadi pilihan untuk menghiasi muka depan majalah.

Terbaharu, beliau dilantik sebagai model untuk sebuah jenama pakaian, aksesori serta beg terkemuka.



Jadi, tidak hairanlah jika Nikolai mendapat jolokan putera kacak dan menjadi idaman ramai wanita yang ‘cair’ melihat ketampanannya.

PUTERA MAHKOTA JORDAN, PUTERA AL HUSSEIN ABDULLAH, 26.

Pewaris takhta ini bukan hanya berwajah tampan, tetapi berpelajaran tinggi. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sejarah Antarabangsa dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Putera Al Hussein juga mendapat latihan sebagai juruterbang dari Tentera Udara Diraja Jordan ada 2014.

Beliau juga menyandang pangkat leftenan pertama dalam Angkatan Bersenjata Jordan dan pernah menyertai latihan ketenteraan di Unit Latihan Khas Raja Abdullah II.

Pada 2015, ketika berusia 20 tahun, Putera Al Hussein menjadi individu termuda yang pernah mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

LOUIS SPENCER, 26.

Seorang lagi aristokrat Inggeris yang mencuri perhatian ramai wanita adalah Louis Spencer.

Meskipun bukan pewaris takhta monarki United Kingdom, beliau adalah anak saudara kepada Puteri Diana dan juga sepupu kepada Putera William dan Putera Harry.

Pemuda yang membesar di Cape Town, Afrika Selatan itu adalah graduan Universiti Edinburgh, Scotland.

Tidak banyak diketahui mengenai kehidupan lelaki ini.

Bagaimanapun, kakaknya, Lady Kitty Spencer juga turut aktif sebagai model.

PUTERA ABDUL MATEEN BOLKIAH, 29.

Anakanda kepada Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah ini mempunyai 2.3 juta pengikut di Instagram (IG).

Beliau gemar memaparkan kehidupannya yang aktif bersukan dan cintakan haiwan.

Malah, beliau juga menjadi sebahagian daripada atlet pasukan polo ekuestrian negara itu pada Sukan Sea ke-29 di Kuala Lumpur pada 2017 dan Sukan Sea ke-30 di Filipina, pada 2019.

Anak ke-10 daripada 12 beradik itu berkelulusan Sarjana Muda dalam Politik Antarabangsa dari King’s College, London.

Selain itu, beliau mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom.

Berita mengenai putera ini kembali tular apabila beliau dikatakan mencapai usia yang sesuai untuk berumah tangga.

PUTERA PHILIPPOS, 34.

Seorang lagi putera raja yang masih bujang adalah Putera Philippos iaitu anakanda kepada Raja Greece, Raja Constantine II dan Permaisuri Anne Marie.

Bapanya berdarah Greek, manakala ibunya berasal dari Denmark.

Beliau dilahirkan di Hospital St Mary, London pada 26 April 1986. Ketika itu, keluarga diraja Greece ini terpaksa hidup dalam buangan selepas negara itu memansuhkan sistem monarki.

Biarpun tanpa takhta, keluarga ini tetap menggunakan gelaran diraja.

Putera Philippos pernah menjalin hubungan cinta dengan Nina Flohr yang juga anak tunggal kepada bilionair Swiss, Thomas Flohr.

Agensi
Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker