Aliran keluar dana asing meningkat kepada RM370.4 Juta semasa tempoh 24-27 Ogos

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia pada tempoh 24-27 Ogos, 2020, dengan jualan bersih meningkat sedikit kepada RM370.4 juta berbanding RM344.2 juta pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata Bursa Malaysia bermula agak lemah pada minggu yang baru berakhir ini apabila dana antarabangsa menjual ekuiti tempatan bernilai RM120.9 juta pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah turun 0.5 peratus kepada 1,568.6 mata pada hari yang sama, diseret turun oleh saham perbankan seperti Public Bank yang jatuh 1.9 peratus.

Pada Selasa, jualan bersih asing kekal tinggi pada RM116.2 juta meskipun berita rancangan syarikat bioteknologi Amerika Moderna Inc untuk menyediakan 80 juta dos vaksin COVID-19 eksperimennya ke Kesatuan Eropah, serta Amerika Syarikat (AS) dan langkah China untuk meneruskan komitmennya kepada perjanjian perdagangan fasa pertama.

Di dalam negara, berita positif berkaitan vaksin COVID-19 telah mencetuskan aktiviti pengambilan untung dalam kaunter sarung tangan seperti Top Glove dan Hartalega yang menyebabkan kedua-dua kaunter itu susut lebih daripada 5.0 peratus pada hari yang sama, kata Adam kepada Bernama.

Pada Rabu, pelabur asing kembali semula ke Bursa Malaysia dalam jumlah yang sederhana apabila mereka membeli ekuiti tempatan bernilai RM1.9 juta, menghentikan jualan besar-besaran selama lima hari berturut-turut.

Namun pada Khamis, jualan bersih asing bersambung kembali dengan aliran keluar berjumlah RM135.2 juta.

“Sentimen terjejas selepas China melepaskan empat peluru berpandu menghala ke Laut China Selatan yang menjadi perbalahan yang didakwa Beijing sebagai wilayah berdaulatnya tetapi dianggap sebagai laluan antarabangsa oleh AS dan negara-negara lain,” kata Adam.

Selain itu, katanya, pelabur menunggu ucapan Pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell yang membayangkan kadar faedah AS akan dikekalkan rendah bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, setakat ini bagi tahun ini Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak  RM20.2 bilion (atau US$4.7 bilion).

Berbanding rakan ASEANnya yang lain, Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih asing kedua terbesar selepas Thailand yang merekodkan aliran keluar bersih asing sebanyak US$7.7 billon, katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ekonomi Malaysia mula mencatatkan petanda positif pemulihan susulan pembukaan semula beransur-ansur perniagaan.

Beliau juga berkata kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Dis, 2020.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *