Mahathir akui sayang UMNO

TANJUNG MALIM: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui sayangkan UMNO namun meninggalkan parti itu kerana berlaku penyelewengan.

Menurutnya, beliau berasal dari UMNO dan antara pengasasnya ketika di Alor Setar, Kedah apatah lagi memimpin parti itu selama 22 tahun.

“Tapi hari ini saya tak lagi jadi presiden UMNO tapi terlibat untuk menggagalkan UMNO. Ya saya sayang UMNO tapi UMNO tidak laksana janjinya.

“Kalau sokong parti menyeleweng, kita juga menyeleweng,” katanya ketika berucap pada program Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir di Felda Besout 3.



Menurutnya, apa yang berlaku dalam UMNO hari ini ialah politik wang dan bukannya untuk memajukan negara dan rakyat.

Beliau berkata, mereka yang masuk politik hari ini mahukan gaji besar dan menjadi Perdana Menteri.

“Kita jangan ikat diri dengan parti sebab apabila parti buat salah pun kita ikut, itu yang merosakkan negara.

“Dulu saya presiden UMNO tapi bila parti buat salah saya tak sokong,” katanya.



Mengenai parti baharu yang ditubuhkan, Pejuang, Mahathir berkata, parti baru itu mahu menghapuskan politik wang.

“Bila ada politik wang, orang masuk politik kerana duit, orang kaya boleh beli calon-calon dan jadi kerajaan, jadi menteri dan sebagainya.

“Sebab itu penyangak pun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button