Air mata, darah dan keringat

KEJAYAAN negara hari ini adalah atas likuan sejarah negara yang dilalui bersama anggota masyarakat daripada generasi ke generasi.

Masyarakat yang wujud hari ini terdiri daripada anggota masyarakat yang dipandang tinggi, dihormati dan disanjungi adalah penduduk Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kita dikenali sebagai warganegara Malaysia walaupun kita berlainan darah, keturunan dan agama, tetapi kita tetap utuh dan kental di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Daulat Tuanku.

Daripada nama yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Borneo dan Sarawak, akhirnya kita membentuk satu negara Malaysia pada 16 September 1963 sehinggalah ke hari ini.

Betapa perlunya generasi hari ini menginsafi dan menyedari Malaysia hari ini bukanlah sebuah negara yang dapat dibina sekelip mata, tetapi melalui lipatan sejarah yang panjang dengan penuh keunikannya dan wajar diamati dan difahami dalam sudut sejarah.

Generasi hari ini perlu celik sejarah negara dan harus melihat dalam konteks yang wajar terhadap sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku pada masa silam yang mewujudkan sejarah hari ini, tanpa prejudis dengan menghormati dan mengagumi terhadap apa yang berlaku dan menolak secara tuntas terhadap isu yang mengeruhkan suasana keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

Penjajah seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun yang pernah meragut kekayaan dan kemakmuran negara kita, sudah dihadapi bersama masyarakat silam dan berjaya hingga ke hari ini menjadi sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

Penyatuan masyarakat dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dengan penuh jayanya serta semangat kebangsaan masyarakat Malaysia hari ini, negara kita tidak lagi tergugat dengan ancaman musuh luar, malah dihormati dan disegani seluruh dunia.

Kita seharusnya berbangga dengan negara kita, tidak kira kita berada di mana-mana ceruk rantau dunia sekalipun, daripada generasi tua sehingga ke peringkat sekolah rendah dan tadika, harus dipupuk dan ditanam dalam jiwa dan sanubari setiap anggota masyarakat ‘negara kita tanggungjawab kita’ sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun demi maruah negara tercinta.

Setiap anggota rakyat harus mengamati dan memegang prinsip Rukun Negara yang sudah dibina dalam sejarah negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Generasi muda sebagai tiang negara yang seringkali diucapkan slogan ini harus menjadi barisan hadapan yang paling penting dan perlu dibimbing oleh generasi tua untuk mendepani isu-isu negara.

Jika terdapat perkara yang menggugat, mencalar kestabilan, keharmonian rakyat dan negara, harus berani serta bertindak bijak dengan lunas yang penuh ketertiban dan kesopanan bagi menjadikan golongan ini dihormati dan diangkat kedudukan mereka sebagai insan yang amat bermakna kepada negara.

Memahami sejarah silam negara yang dipelajari di sekolah, institusi pengajian tinggi, perpustakaan dan arkib adalah penting kerana ia mempunyai nilai yang penuh dengan iktibar dan pengajaran.

Sebagai rakyat Malaysia yang berjati diri, mempunyai nilai toleransi mulia dan berakhlak, kita seharusnya bertindak bijak dan tidak mudah dipengaruhi dengan sebarang provokasi dalam apa jua bentuk atau pengaruh seperti berita palsu, dakyah dan fitnah media sosial yang berleluasa pada masa kini.

Oleh itu, menyedari kepentingan dan nilai sejarah silam negara adalah menjadi tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia.

Agar kita semua dapat menyumbang idea dan fikiran untuk dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

Penulis Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Prof Madya Dr Khairi Ariffin

hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker