Parah ditetak ketika ‘serang’ rumah orang

LELAKI parah di tetak dalam satu kes pergaduhan di Kampung Felcra Berangan Mek Nab, di Machang, petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa berusia 34 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher, bahu serta lengan kiri akibat ditetak suspek menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati di antara kedua pihak yang sebelum ini pernah bertelingkah.

Katanya, ketika kejadian, mangsa datang ke rumah suspek dan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan ibu suspek.



“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba datang dari arah belakang rumah lalu terus menyerang mangsa dan berlaku pergaduhan di luar pagar hadapan rumah berkenaan.

“Mangsa dan suspek yang bekerja kampung masing-masing bersenjatakan pisau dan kayu dalam pergaduhan itu. Akibat pergaduhan, mangsa mengalami kecederaan di leher, bahu serta lengan kiri akibat kesan tetakan.

“Mangsa di bawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, susulan kejadian, suspek berusia 35 tahun berjaya di tangkap semalam dan permohonan reman akan dibuat hari ini.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.

hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker