DAP Pecat Lapan Ahli

KUALA LUMPUR, — DAP memecat serta-merta lapan ahlinya yang menghadiri sidang media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong A. Sivasuramaniam yang mengumumkan keluar DAP dan menyertai Parti Gerakan pada 26 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen berkata mereka ialah Dan Adriel Daniel Velloo, Angeline Phillip Joe Phillip, P. Murugiah, Joseph Hendry Kovil Pillai John, Amir Abdullah, R. Marimutu, S. Theivanai dan William John Johin Bin.

Kesemua mereka  telah diberi surat tunjuk sebab namun gagal mengemukakan alasan tindakan mereka, justeru, selepas menimbang kes terbabit,  jawatankuasa disiplin memutuskan keahlian mereka dalam parti ditamatkan dengan serta-merta, katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong berkata tindakan serupa akan diambil terhadap mereka yang menyokong ahli yang menerima jawatan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau masih membantu wakil rakyat DAP yang mengkhianati perjuangan parti.

Pada 7 Julai lepas, DAP memecat tiga ahlinya iaitu Kong Lai Ling, Ng Sook Whye dan Khi Poh Chong kerana didapati aktif membantu ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang telah dipecat selepas mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan kepada PN.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker