Doa ibu dimakbulkan, ini peluang saya berbakti kepadanya’

Setiap ibu dan bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak anaknya. Acap kali selepas solat doa untuk anak anaknya tidak pernah dilupakan. Doa agar anak anak sentiasa diberikan perlindungan Allah. Anak yang tatat kepada perintahnya, Doa agar anak menjadi seorang yang baik dan berbagai bagai lagi harapan ibu dan bapa kepada anaknya.

“SELAMA berada dalam penjara, ibu tidak pernah putus berdoa agar saya dibebaskan dan berkat doanya, saya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk pembebasan,” kata Ahmad, 50, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong, Machang, hari ini.

Ahmad adalah antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengurniakan pembebasan awal kepada banduan di beberapa penjara di Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63, pada tahun ini.

Menurutnya, dia dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap YDPA ketika menyertai Pertubuhan Al-Ma’unah.

“Saya mula menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh pada 2000 selama setahun, kemudian dipindahkan ke Penjara Kajang selama 10 tahun dan dihantar pula ke Penjara Pengkalan Chepa selama lapan tahun dan 42 hari di Penjara Kajang sebelum dibebaskan pada 17 Ogos lalu.

“Setiap hari saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan YDPA kerana tidak sabar melihat dunia luar yang ditinggalkan sejak dua dekad lalu, selain mahu menjaga ibu uzur.

“Alhamdulillah, akhirnya doa saya dan ibu diperkenankan dan saban tahun saya amat menantikan saat untuk dibebaskan,” katanya.

Ahmad berkata, sepanjang 20 tahun menjalani hukuman penjara, dia lima kali menghantar surat memohon pengampunan kepada YDPA.

Menurutnya, di saat pegawai penjara membaca nama lapan banduan di Penjara Kajang yang dibebaskan selepas mendapat pengampunan YDPA, dia terkejut dan pada masa sama tidak percaya tersenarai sebagai seorang daripada mereka.

“Inilah kebebasan dinantikan selama ini dan kini saya sudah bebas. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutama Al Sultan Abdullah kerana memberi perkenan dan ia ibaratkan peluang kedua untuk saya menjadi insan lebih baik.

“Sepanjang menjalani hukuman penjara, banyak perkara yang saya pelajari selain al-Quran menjadi pegangan hidup ketika melalui hari mendatang di sebalik tembok batu itu.

“Saya menggunakan sepenuh masa bagi memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama dan pada masa sama, ia mengajar saya banyak erti kebebasan sebenar apabila kita terpisah daripada dunia luar,” katanya.

Ahmad berkata, mungkin pada pandangan masyarakat, penjara adalah satu tempat ‘hitam’, namun sebenarnya masih banyak perkara positif boleh dipelajari di dalamnya.

Anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, dia merancang untuk membuka kedai jahit untuk menyara kehidupan dengan menggunakan kemahiran dipelajari di penjara.

“Selain itu, saya mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibunya yang terlantar sejak tiga tahun lalu disebabkan penyakit tua selain kedua-dua matanya kabur.

“Walaupun mempunyai adik beradik lain, biarlah saya menjaga dan menguruskan segala keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang untuk berbakti kepadanya,” katanya.

Artikel 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker