3 wanita dibebaskan, tak cukup bukti – Polis

POLIS Kontinjen Selangor mengesahkan tiga wanita warga tempatan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes conteng mural pemimpin negara dengan kata-kata kesat pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin bagaimanapun berkata, ketiga-tiga wanita warga tempatan itu dibebaskan kerana tiada bukti kukuh mereka terbabit dalam kes itu.

“Tiga minggu lalu, tiga wanita yang pada mulanya kita syaki terbabit dalam kes itu, tetapi apabila diambil keterangan, polis dapati mereka mempunyai alibi kukuh bahawa mereka tidak boleh disabitkan dengan jenayah itu.

“Kami masih bekerjasama dengan Bukit Aman dari segi teknikal untuk mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kes itu, kami akan terus berusaha lagi,” katanya.

Beliau berkata ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu terbabit dalam sidang media selepas melancarkan Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2020 anjuran bersama Polis Selangor dan SEERS Berhad di Shah Alam, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengarah SEERS Berhad, Datuk Ken Foo Kwok Hsing serta pegawai-pegawai kanan Polis Selangor.

Pada pagi 20 Julai lalu, negara digemparkan mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dekat Shah Alam, diconteng dengan kata-kata kesat.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera dengan memadamkan keseluruhan mural itu dengan mengecat semula.

Pada tengah hari sama, satu visual menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dua wanita dipercayai menjadi dalang yang merosakkan mural barisan pemimpin negara itu tersebar di media sosial.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong lukisan mural berkenaan sebelum kelibat dua individu itu muncul melakukan vandalisme.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker