6 Pati ditahan ‘pelancong’

BESUT: Enam Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di Pulau Perhentian, dekat Besut, semalam.

Semua Pati membabitkan empat warga Bangladesh dan dua warga Nepal itu ditahan sepasukan 15 pegawai jabatan berkenaan yang menyamar sebagai pelancong dalam operasi bermula 8 pagi.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu, Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, operasi di pulau peranginan itu dibuat berdasar risikan dilakukan jabatan itu.

Katanya, pihaknya menggunakan helah sebagai pelancong bagi mengelak kehadiran mereka di pulau berkenaan dikesan selain bertujuan mengaburi mata Pati terbabit.

“Ternyata taktik kami berjaya dan semua Pati terbabit ditahan sejurus bot yang dipandu mereka tiba di lokasi yang ditetapkan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Katanya, semua Pati berusia antara 25 dan 48 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan awal mendapati kesemua Pati terbabit mengaku menetap di pulau peranginan itu antara satu hingga sembilan tahun dan bekerja sebagai pemandu bot pelancong dengan bayaran gaji sebanyak RM1,200 sebulan,” katanya.

Katanya, semua Pati terbabit dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Ungku Joha berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik bot terbabit bagi membantu siasatan dan jika sabit kesalahan pengusaha bot berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menggaji pekerja tanpa izin.

“Jabatan Imigresen memandang serius terhadap isu kebanjiran Pati dan operasi akan dilakukan secara berkala bagi menahan warga asing yang tinggal secara haram di negeri ini,” katanya.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker