Bagaimana Jadikan Anak Anda Bijak Dengan Permainan Video



Ketika mengupas tentang letusan platform media sosial yang mendefinisikan kehidupan belia hari ini, kita tidak boleh terlepas daripada menyingkap sejarah kejayaan Facebook pada 2006. Manakala jika membicarakan tentang letusan inovasi telefon pintar, kita tidak dapat lari daripada memulakan perbincangan dengan menyorot tahun pelancaran Apple Iphone pada 2007.

Permainan video juga mempunyai sejarah yang menarik. Medium permainan video bersaing sengit antara komputer peribadi (PC) dan konsol permainan video seperti Sony Playstation dan Microsoft Xbox. Tetapi semuanya berubah apabila permainan Angry Birds diperkenalkan pada 2009 untuk peranti iOS. Sejak daripada itu, pasaran permainan video berpecah menjadi persaingan tiga penjuru; PC, konsol dan peranti mudah alih.

Pada 2016, bahagian pasaran didominasi oleh permainan video bagi peranti telefon pintar; termasuk tablet, dengan pelancaran rasmi permainan Mobile Legends: Bang Bang. Pada 2018, permainan PlayerUnknown Battleground (PUBG) Mobile diperkenalkan kepada pemain seluruh dunia. Ini telah mengukuhkan lagi penguasaan permainan video dalam telefon pintar dalam bahagian pasaran industri ini.



Banyak yang sudah dibincangkan mengenai potensi yang ada pada industri permainan video. Bahkan, kesannya kepada ekonomi negara juga adalah signifikan. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pada 2019 melaporkan sebanyak USD100 juta disumbangkan oleh industri ini kepada hasil negara dengan kadar pertumbuhan 10.9 peratus setahun.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin berkongsi sepuluh cara untuk anda menjadikan permainan video lebih daripada sekadar bermain untuk mengejar trend. Malahan, menjadikan permainan video sebagai suatu hobi yang sihat dan dapat memberikan nilai tambah kepada diri sendiri seterusnya membantu diri dalam urusan kehidupan seharian. Sebahagian besar daripada tips ini dirumuskan daripada buku Game Frame (terbit tahun 2011) oleh Aaron Dignan dan buku The New Korea (terbit tahun 2010) oleh Myung Oak Kim dan Sam Jaffe.

10 Cara Permainan Video Jadikan Anda Lebih Bijak Dan Matang



#1 Belajar untuk buat keputusan

Dalam setiap permainan video, pemain akan dipaksa untuk membuat keputusan. Senario membuat keputusan itu pelbagai, iaitu daripada membuat keputusan yang kecil seperti memilih nama, set pakaian, dan gaya rambut karakter yang pilih, sehinggalah keputusan yang memberikan kesan kekal seperti memilih elemen kuasa dan tata atur butang kawalan. Permainan video juga mendedahkan pemain untuk membuat keputusan dalam keadaan tenang; memilih senjata utama, dan keadaan tekanan yang ekstrem; memilih kombo serangan yang paling efektif untuk mengalahkan musuh.

Walaupun keputusan-keputusan ini dibuat dalam permainan video, kesannya adalah realiti yang perlu ditanggung oleh pemain sepenuhnya. Oleh itu, dengan kesedaran ini dan rutin bermain permainan video ini secara berkala, ia dapat membantu diri untuk belajar kemahiran membuat keputusan yang lebih baik, lebih peka kepada kadar kejayaan keputusan yang dibuat, menimbang risiko bagi setiap pilihan yang ada dan yang paling utama ialah bertanggungjawab dengan keputusan yang telah dibuat.



#2 Tingkat bahan bacaan

Permainan video hari ini tidak direka semata-mata untuk tujuan ‘main dan menang’. Seperkara yang menjadikan permainan video sangat mengasyikkan adalah kerana penceritaan-dalam-permainan yang dapat dihayati oleh pemain. Inilah yang menjadikan role-playing game (RPG) termasuk variasinya iaitu massively multiplayer online role-playing game (MMORPG), sebuah dunia dalam realiti yang tersendiri.

Ambil permainan video Assasin’s Creed sebagai contoh. Sedari awal dinyatakan bahawa keseluruhan permainan itu mengambil inspirasi daripada sejarah ketamadunan dunia yang sebenar. Yang demikian, apabila misi dan penceritaan karakter utama itu berkembang, pemain akan dapati bahawa ada di antara interaksi tersebut adalah berdasar kepada sejarah dunia yang sebenar. Bagi memahami senario itu secara mendalam dan menyeluruh, memerlukan kepada bacaan lanjut sama ada berdasarkan kepada sumber dalam permainan itu sendiri atau bacaan dari sumber rujukan lain.

Secara tidak langsung, pembacaan yang pada awalnya bertujuan untuk menguasai penceritaan permainan video, akan terasah menjadi kemahiran mencari sumber bacaan yang sahih dan kemahiran membaca yang baik.

#3 Medan latihan kemahiran interpersonal

Dalam banyak permainan video hari ini, ada tetapan yang membolehkan pemain berkomunikasi dengan pemain lain secara dalam talian. Ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi kepuasan pengalaman bermain, terutamanya apabila ada interaksi secara langsung dengan pemain-pemain lain.

Penulis secara peribadi bermain PUBG Mobile, dan secara sengaja memilih untuk membentuk skuad bersama dengan pemain daripada negara asing seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand. Sejujurnya, dalam banyak pusingan pertarungan itu penulis tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan. Tetapi ada beberapa ketikanya, penulis dipasangkan dengan ahli skuad yang ramah dan boleh berbahasa Inggeris; tidak baik tetapi boleh difahami.

Sepanjang pusingan itu, interaksi antara kami dari segi perbualan sangat minimum. Tetapi dari segi strategi permainan, perkongsian kelengkapan pertarungan dan kerjasama sangat baik. Ini pengalaman yang baik untuk mengasah kemahiran berkomunikasi dengan orang asing.

#4 Belajar merancang

Dignan dalam bukunya menjelas dengan panjang lebar mengenai konsep pembangunan sesebuah permainan video. Antara lain, dinyatakan bahawa untuk memastikan pemain terus terikat dan ‘ketagih’ untuk bermain sesuatu permainan video, permainan tersebut memasukkan elemen ‘item’.

‘Item’ ini secara umum merujuk kepada kelengkapan tambahan yang boleh diperolehi oleh pemain, sama ada ditemui atau dibeli dalam permainan. ‘Item’ ini mampu memberikan kelebihan kepada pemain dalam usaha untuk menyempurnakan sesuatu misi atau menyempurnakan permainan tersebut.

Walaupun tanpa ‘item’ tambahan ini sesuatu permainan masih boleh dinikmati dan adakalanya disempurnakan, namun di situlah letaknya magik ‘ketagihan’ dan kebijakan sesebuah permainan video.

Ini kerana, di sini pemain dipaksa untuk membuat keputusan antara menghabiskan permainan sepenuhnya dengan kemahiran sendiri atau berbelanja untuk mendapatkan ‘item’. Memilih antara jalan panjang atau jalan mudah. Apapun, pemain permainan video lebih faham betapa pentingnya perancangan. Maka, jadikan pengalaman itu dalam kehidupan seharian. Gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

#5 Menghilangkan tekanan

Majalah The Independent melaporkan dapatan satu survei pada tahun 2018 yang dibuat kepada 1,000 pemain video mengenai sikap mereka terhadap permainan video yang mendapati 55 peratus responden mengakui permainan video membantu mereka melegakan tekanan. Manakala 47 peratus responden menyatakan kerja-keraja harian mereka lebih produktif selepas bermain permainan video.

Oleh yang demikian, semua orang boleh ambil manfaat daripada penemuan ini. Bukan sahaja belia yang memang sudah mahir meneroka permainan video, bahkan juga orang awam daripada semua kelas umur. Manakala untuk remaja dan kanak-kanak, boleh gunakan hujah ini untuk terus bermain. Tinggal lagi, semua perlu mengawal jumlah jam bermain. Melegakan tekanan itu menyihatkan, tetapi terlebih bermain pula akan merosakkan kesihatan jua.

#6 Platform untuk mengenali penstriman langsung

Di Malaysia, kita tidak terlalu biasa dengan portal Twitch.tv. Sebuah portal penstriman langsung yang dimiliki oleh syarikat Amazon. Bagi suku ketiga tahun 2019, Twitch menguasai 75.6 peratus jumlah jam tontonan penstriman langsung. Jauh meninggalkan YouTube (17.6%) dan Facebook (3.7%). Untuk konteks, jumlah jam tontonan Twitch adalah sebanyak 9.36 billion jam, manakala jumlah pendapatan Twitch bagi 2019 adalah USD1.54 billion, manakala YouTube Gaming memungut USD1.46 billion.

Kita sudah mula dapat menangkap trend belia Malaysia yang menayangkan siaran langsung permainan mereka di platform YouTube dan Facebook. Diberitakan juga, ada dalam kalangan mereka ini yang menjana pendapatan melalui penstriman langsung itu.

Pasca COVID-19 ini, adalah masa yang sangat ideal untuk membuat pembacaan dan selidik awal mengenai cara untuk menjana pendapatan dan manfaat-manfaat lain penstriman langsung ini. Boleh bermula kecil kemudian dikembangkan berdikit-dikit.

#7 Pengkuasaan Bahasa Inggeris

Kebanyakan permainan video tidak menawarkan Bahasa Melaysia dalam tetapan permainan. Oleh itu, kebiasaan kita akan bermain dengan menggunakan pengarahan dan tetapan permainan dalam Bahasa Inggeris.

Manfaatkan tetapan ini untuk bermain dengan komuniti pemain daripada pelbagai negara. Memandangkan belia Malaysia sudah mempunyai asas komunikasi bahasa Inggeris yang baik. Justeru, boleh mempraktikkan kemahiran bahasa dengan pemain dari luar negara.

#8 Eksperimen tingkah laku sosial secara dalam talian

Semua tahu, untuk bermain PUBG dalam skuad empat orang, memerlukan lebih daripada senjata Groza dan AWM. Faktor utama untuk memenangi permainan ini ialah strategi dan kerjasama skuad.

Dalam permainan ini, pemain boleh bereksperimen mengenai cara komunikasi paling baik untuk mempengaruhi pemain-pemain dalam skuad. Kita semua terdedah kepada perkongsian-perkongsian mengenai tips kepimpinan, komunikasi dan pengurusan organisasi. Tetapi belum tentu kita ada peluang untuk mengasah kemahiran itu. Jadi dicadangkan, sebelum dipraktikkan kemahiran tersebut dalam kehidupan, praktikkan dalam permaian dulu. Kemudian lihat apa reaksi pemain lain. Belajar dan ambil manfaat daripada tingkah-laku dan kepimpinan pemain yang kita selesa dan jadikan teladan tingkah-laku yang tidak kita gemar agar kita tidak ulangi perkara yang sama.

#9 Meneroka kepelbagaian aspek dalam pembangunan permainan video

Pada 2010, ada satu urban legend yang berlegar mengenai permainan video Pokemon. Ia berkaitan dengan latar muzik untuk sebuah tempat dalam permainan tersebut iaitu Lavender Town. Muzik yang digubah oleh Junichi Masuda itu, dikhabarkan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 200 kanak-kanak Jepun membunuh diri pada 1996. Tidak dapat dipastikan kebenarannya, tetapi pihak penerbit telah menggubah semula muzik tersebut pada tahun 2017.

Ini baru satu aspek dalam pembangunan sebuah permainan video. Dignan dalam bukunya berkongsi mengenai aspek reka bentuk sesebuah permaian video yang lebih daripada sekadar memberikan penekanan kepada aspek permainan. Malahan, lebih banyak penekanan diberikan kepada aspek-aspek lain dalam permainan itu seperti jalan cerita, muzik, tata atur grafik dan seterusnya.

Ini adalah kerana, semua ini akan memberi kesan kepada pengalaman bermain. Lebih baik dan lebih menakjubkan pengalaman bermain, lebih lama dan lebih ‘ketagih’ pemain kepada permainan tersebut.

#10 Teroka prospek industri permainan video

Industri permainan video seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pada 2019 menyumbang kepada hasil negara sebanyak USD100 juta dengan kadar pertumbuhan 10.9 peratus setahun. Ditekankan bahawa pungutan hasil tersebut adalah daripada keseluruhan industri permainan video.

Apabila disebut industri ia tidak terbatas hanya kepada aplikasi atau konsol permaian video semata-mata. Industri permainan video termasuklah reka bentuk permainan, grafik, muzik, bunyi dan seterusnya. Cenderamata permaian video rasmi juga memungut keuntungan yang besar; figura aksi, kostum, aksesori dan pelbagai lagi barangan rasmi.

Industri permaian video ini sangat luas dan sedang pesat berkembang. Oleh itu, selain daripada meluangkan masa bermain, ambil juga sedikit masa untuk meneroka bidang-bidang yang ada dalam industri permainan video ini. Mana tahu, anda menjumpai peluang yang boleh dijadikan sebagai karier hidup – daripada pemain kepada pereka bentuk permainan.

Kesimpulan

Mesej yang ingin disampaikan ialah industri permainan video ini akan terus berkembang. Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk hanya membincangkan fenomena ini daripada sudut potensi ekonomi dan peluang menjana pendapatan peribadi semata-mata, sebaliknya manfaatnya juga harus dibincangkan.

Permainan video bukan sahaja membuktikan keuntungan lumayan bagi mereka yang pandai menuai pendapatan daripada industri ini. Lebih daripada itu, permainan video sebenarnya mampu menjadikan kita manusia yang lebih baik, bertamadun dan professional.

— BERNAMA

Irfan Faruqi ialah pengacara Darah Muda terbitan Bernama TV



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: