Saya sedia disiasat, kata Zuraida

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, beliau sedia disiasat berhubung 2 projek runding terus membabitkan kementeriannya.

Semalam, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Zuraida yang berdiam diri berhubung surat dari ketua setiausaha kementeriannya kepada kementerian kewangan mengenai projek sisa pepejal bernilai RM170.3 juta.

Dalam sidang media hari ini Zuraida berkata surat itu daripada pihak kementeriannya.

“Semua (surat) itu ada dalam fail kami. Kalau ada siasatan lanjut oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau sebagainya, saya akan bagi semua dokumen itu.

“Saya sudah kumpul kedua-dua fail, 1 untuk (Taman) Beringin dan 1 untuk Century (syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd), semua sudah bersedia.

“Saya tak mahu panjangkan kepada pihak media, sekiranya ada SPRM atau siapa pun yang nak siasat, itu tidak menjadi masalah,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Minggu lalu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek runding terus bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan menganugerahkan 2 projek iaitu projek sisa pepejal bernilai RM170.3 juta di Taman Beringin, Kepong dan sistem perisian perakaunan bernilai RM501,000.

Zuraida berkata, dia tidak menyedari kedua-dua projek itu dan mendakwa rundingan terus bagi projek sisa pepejal berkenaan dibuat Lim selaku menteri kewangan ketika itu.

Beliau turut menjelaskan kontrak diberikan kepada syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd dipersetujui kementerian kewangan.

Lim berkata, Zuraida pasti mengetahui projek itu kerana sudah menjadi kebiasaan kementerian menyerahkan surat permohonan kepada kementerian kewangan untuk kelulusan projek runding terus.

Katanya, akan ada surat daripada ketua setiausaha kementerian perumahan dan kerajaan tempatan kepada kementerian kewangan.

“Zuraida tidak boleh menafikan surat permohonan itu dan saya mencabar beliau mendedahkannya supaya rakyat mengetahui cerita sebenar,” katanya.

“Jika benar permohonan itu dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, ketua setiausaha kementerian perlu dikenakan tindakan tatatertib.”

Sementara itu, ketika diminta mengulas hubungannya dengan Lim, Zuraida berkata hubungan mereka “profesional”.

“Dari segi kerajaan dia bukan anggota kerajaan lagi. Dari segi menjadi MP di Parlimen, jika dia tanya soalan saya jawablah,” katanya.

FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker