Dadah RM17 juta dalam guni
Kuala Lumpur: Disifatkan antara siri rampasan dadah terbesar dalam negara sejak awal tahun ini.
Itu adalah antara kejayaan terbaru dicapai Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya merampas 441 kilogram dadah syabu berhampiran Sungai Golok, Kelantan.
Sumber berkata, rampasan itu adalah hasil operasi Ops Benteng Covid dilakukan PGA melalui penugasan di sempadan Malaysia dan Thailand.
Menurutnya, semua dadah itu ditemui sekitar jam 7 pagi semalam ketika penugasan dilakukan anggota PGA di dalam hutan berhampiran Sungai Golok dan sempadan Rantau Panjang, Kelantan.
“Anggota PGA yang melakukan rondaan dikatakan tersempak 21 guni plastik yang diikat dengan tali ditinggalkan di atas tanah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kandungannya menemui 20 paket berisi ketulan dadah syabu di dalam setiap guni berkenaan. Kesemua 420 paket dadah seberat 420 kilogram itu dianggarkan bernilai hampir RM17 juta mengikut harga pasaran,” katanya.
Menurutnya, turut ditemui satu guni lain berisi 21 paket dadah syabu siap dibungkus bernilai hampir RM1 juta di lokasi berdekatan.
“Semua dadah syabu dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM18 juta.
“Siasatan mendapati semua dadah itu dibungkus rapi di dalam paket plastik berwarna hijau dengan tulisan ‘Chinese Tea’,” katanya.
Susulan penemuan itu, semua dadah berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Polis percayai dadah syabu seberat 441 kilogram itu cuba diseludup masuk ke negara ini melalui negara jiran. Bagaimanapun suspek dipercayai sempat melarikan diri sebelum sempat memindahkan guni dadah itu.
“Susulan penemuan dadah itu, polis kini meneruskan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Kelmarin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 537 kilogram (kg) dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
Dadah itu disyaki cuba diseludup dari Thailand ke pulau peranginan ini menerusi perairan negara.
Namun 14 bungkusan mengandungi ketulan mampat ganja itu ditemui terapung pada kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Chorong dekat sini kira-kira jam 9.30 pagi.
APMM turut berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah jenis syabu dan pil ekstasi seberat 113 kilogram bernilai RM 7.2 juta.
Sementara itu pada 28 Julai lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din mendedahkan kejayaan polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah terbesar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila merampas 296.8 kilogram (kg) bahan terlarang itu, bernilai RM25.6 juta dalam beberapa siri serbuan pada 22 hingga 24 Julai.
Seramai 23 individu berusia antara 25 hingga 57 tahun termasuk ketua sindiket terbabit turut ditahan dalam serbuan di ibu negara, Selangor, Johor dan Pahang.
Antara dadah dirampas adalah jenis syabu, pil ecstacy, pil kuda dan cecair metaphetamin yang mampu digunakan seramai 1.1 juta penagih.
Sebelum itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik perniagaan susu unta dan susu kambing pracampuran.
Dalam operasi 4 Jun lalu, Kastam merampas 2,500 kilogram dadah ketamin bernilai RM100 juta, iaitu rampasan terbesar tahun ini.
Rampasan dilakukan susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor.
Hmetro