Peneroka tampar, tendang jemaah

RAKAMAN video yang tular di media sosial.

Jempol: Peneroka yang bertindak menampar dan menendang muka seorang jemaah di dalam Masjid Felda Palong Tujuh sehingga video kejadian itu tular didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas Kamarudin Desa, 60, dari Felda Palong Tujuh yang mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pada 9 malam, 24 Ogos lalu di Masjid Felda Palong Tujuh, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Jamal Idris, 62, dengan cara menampar dan menendang menggunakan tangan dan kaki.



Oleh yang demikian tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes kejadian berlaku selepas solat Isyak dan ketika itu Jamal melalui belakang tertuduh sambil membawa sehelai sejadah.

Sejadah dibawa Jamal terkena bahagian belakang badan tertuduh sehingga menimbulkan kemarahan tertuduh sebelum bangun dan terus menampar serta menendang muka Jamal yang juga peneroka Felda Palong Tujuh.

Berikutan itu, Jamal membuat laporan polis kejadian di Balai Polis Ladang Geddes.



Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes berkenaan menarik perhatian ramai selepas video kejadian tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang mahu polis mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh.

Hmetro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button