Awas- Bahaya Vaksin Seludup

Tiada penyebaran meluas vaksin sebelum pertengahan 2021 - WHO | Lain-lain  (Dunia) | Berita Harian

Kuala Lumpur: Tindakan yang boleh membahayakan nyawa pengguna dan pesakit.

Itu antara kegiatan segelintir pengusaha klinik swasta yang dikesan mendapatkan bekalan vaksin daripada sindiket penyeludupan didalangi warga asing.

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kehadiran vaksin tidak berdaftar ini satu ancaman dan boleh membahayakan pesakit yang menerima rawatan di klinik swasta.



“Hasil serbuan minggu lalu di lokasi Masjid India di sini, kami mengesyaki sindiket warga asing yang membekalkan vaksin seludup itu menjualnya di kebanyakan klinik di ibu kota, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Vaksin seludup ini tidak dapat dipastikan keselamatan dan keberkesanannya kerana tidak berdaftar dengan KKM dan tidak melalui rantaian sejuk sepanjang masa.

“Sepatutnya vaksin ini perlu dipastikan disimpan dalam keadaan suhu sejuk sepanjang masa bagi memastikan ia berkesan untuk digunakan,” katanya.

Menurutnya, KKM mengesan wujud klinik yang membeli vaksin seludup ini selepas mendapati jualan daripada syarikat yang sah turun mendadak.



“Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Harian Metro semalam mendedahkan kejayaan 23 pegawai Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya membongkar penjualan vaksin dan ubat-ubatan tidak berdaftar di sebuah pangsapuri di Jalan Masjid India di sini.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik Kuala Lumpur, Datuk Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, pengambilan vaksin yang tidak diketahui mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan kelulusan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dikhuatiri memberi kesan buruk khususnya kepada organ badan pengguna.

Katanya, tindakan itu juga boleh menyebabkan komuniti sekeliling pengguna terdedah kepada bahaya dan menyebabkan sasaran liputan KKM sebanyak 95 peratus untuk mendapat kesan imuniti kelompok (herd immunity) yang optima tidak tercapai.



“Vaksin ini kebanyakannya perlu disuntik…bahaya jika pengguna tidak tahu sumbernya dari mana.

“Adakah ia ikut piawaian GMP, adakah berdaftar dan diluluskan badan bertauliah seperti BPFK? Jika tidak lulus, maknanya ia tidak duji keselamatan dan keberkesanannya.

“Sekiranya ia mengandungi bahan toksik dan logam berat, maka ia boleh merosakkan organ badan seperti hati, hempedu, buah pinggang, urat saraf dan lebih buruk lagi kesan kepada jantung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Awang, kesan pengambilan vaksin bergantung kepada bahan yang terkandung di dalamnya.



“Lebih membimbangkan sekiranya terdapat bakteria di dalam vaksin yang digunakan itu.

“Vaksin seharusnya bebas bakteria dan jika ada, kesannya (tindak balas buruk) kemungkinan lebih cepat.

“Ia juga perlu disimpan di dalam peti sejuk pada julat suhu tertentu yang tidak boleh terlalu tinggi dan rendah.

“Jika di klinik kerajaan dan hospital, vaksin itu dijamin selamat kerana disimpan dengan cara yang betul, tetapi tidak pasti bagaimana kaedah penyimpanan (vaksin) dari lain-lain sumber,” katanya.



Dr Awang menasihatkan pengguna berhati-hati kerana tidak berbaloi mengambil risiko menerusi pengambilan vaksin diseludup hanya kerana tertarik dengan harganya yang murah.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button