PRN Sabah: PAS nak bertanding 10 daripada 73 kerusi

PRN Sabah : Pertembungan BN-Bersatu mungkin berlaku

TAWAU: PAS berhasrat bertanding 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan berharap tiada pertembungan tiga penjuru.

Walaupun tidak pernah memenangi kerusi sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata nama DUN yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Sekitar 10 kerusi kita ‘angkat’ (kemuka) untuk bertanding, termasuk calon Muslimat PAS dan PAS biasanya bertanding di kerusi tradisi. Misalnya di Tawau dan Kalabakan.

“Apa yang penting Perikatan Nasional (PN) atas dasar Muafakat Nasional akan memastikan tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru yang jelas akan merugikan parti,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam di sini, malam tadi.



Pada sidang media, beliau menjelaskan PAS sebagai parti yang sudah lama bertapak di Sabah tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian di dalam pilihanraya Parlimen ataupun DUN.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan PN masih lagi dibincangkan dalam semangat muafakat.

PN menggabungkan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Barisan Nasional (BN), PAS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertanding dalam PRN kali ini, berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, Julai lalu.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon, 26 September hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Media sebelum ini melaporkan BN mendapat 30 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 20 kerusi.

BN dan PN dijadual mengumumkan senarai calon mereka esok selepas rundingan akhir selesai membabitkan BERSATU, MCA, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Jumlah kerusi yang dinyatakan setakat ini sebanyak 65 daripada 73 kerusi dengan baki lapan kerusi lagi dikatakan akan diagih kepada PBS dan SAPP.

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini mengesahkan partinya akan bertanding di 15 kerusi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker