PENAMPAR BERHARGA RM1,800

Jempol: Akibat menampar pipi seorang wanita, penganggur dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman ke atas M Ilvarasen, 22, dari Bahau selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia pada jam 4.30 petang, 28 Ogos lalu di Kampung Batu Bakar dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas P Orita, 25.



Justeru itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, wanita berkenaan melihat air paip mengalir di depan rumahnya dan kemudian pergi ke kediaman tertuduh untuk bertanya hal berkenaan.

Berlaku pertengkaran tidak lama selepas itu sebelum tertuduh yang tidak berpuas hati menampar pipi kiri jirannya itu.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.



Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button