Dagangan Bursa Malaysia kekal tidak menentu

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati dengan kecenderungan menaik minggu depan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam julat 1,380-1,410 mata, kata seorang penganalisis.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, bursa tempatan kekal dalam kedudukan terlebih jual berikutan penjualan besar baru-baru ini sementara pelabur mencari petunjuk bagi hala tuju ke hadapan.

Beliau berkata, keadaan pasaran akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada paras yang menarik memandangkan penilaian mereka (pelabur) yang lebih murah pada minggu sebelumnya.

“Kami meramalkan sentimen berhati-hati akan kekal minggu depan walaupun pemulihan kukuh dijangkakan dalam pasaran global, dengan kegiatan memburu saham berharga murah diramal bermula dalam tempoh terdekat.



“Dari segi teknikal, kita akan melihat rintangan serta-merta pada 1,400 manakala sokongan pada 1,370 untuk minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 23.53 mata kepada 1,382.47 daripada 1,406.00 minggu sebelumnya, terutamanya disebabkan tekanan jualan berterusan dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 192.47 mata kepada 9,858.32, FBM 70 turun 347.17 mata kepada 11,904.70, dan Indeks FBMT 100 lemah 191.08 mata menjadi 9,607.46.

Indeks FBM Emas Syariah pula menguncup 216.51 mata kepada 9,854.79 manakala FBM ACE merosot 56.87 mata kepada 4,652.10.



Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 198.73 mata menjadi 15,873.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.17 mata kepada 169.88, Indeks Perladangan jatuh 45.45 mata kepada 6,421.87 dan Indeks Tenaga turun 28.50 mata kepada 668.69.

Untuk minggu dagangan yang lebih pendek berikutan cuti umum, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 8.48 bilion unit bernilai RM6.87 bilion daripada 11.10 bilion unit bernilai RM7.65 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama lebih rendah untuk mencatatkan sebanyak 5.38 bilion saham bernilai RM6.03 bilion berbanding 6.56 bilion saham bernilai RM6.46 bilion minggu lalu.

Sementara itu, jumlah waran meningkat kepada 1.33 bilion unit bernilai RM195.11 juta berbanding 1.01 bilion unit bernilai RM178.26 juta minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun menjadi 1.77 bilion saham bernilai RM639.07 juta daripada 3.52 bilion saham bernilai RM1 bilion minggu sebelumnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker