PRN SABAH PKR BERTANDING 14 KERUSI

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, jumlah itu adalah satu peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat daripada 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN Sabah 2020.

Menurutnya, keanggotaan PKR Sabah kini juga telah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

“Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, PKR juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina. PKR juga ingin mempunyai calon di segenap pelosok Sabah.

“Kali ini, PKR melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon-calon yang berwibawa, termasuk muka-muka baharu anak muda dan wanita.

“Ini komitmen PKR untuk mengembalikan mandat rakyat kepada kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dalam Pilihan Raya Negeri 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, untuk rekod, kehadiran PKR di Sabah bukan perkara baharu apabila pada pilihan raya sulung yang disertai parti itu pada 1999, PKR sudahpun bertanding tiga kerusi Parlimen di Sabah.

Tambah beliau, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, PKR menang satu kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN, manakala dalam PRU 2018, PKR menang tiga kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

“Walaupun parti pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan, khususnya Warisan, PKR hanya bertanding enam kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN pada 2018,” katanya.

Sinar harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker