RENCANA: APA CERITA LARANGAN MEROKOK DITEMPAT AWAM, RESTORAN?

“Tahu tak, sekarang kalau nak merokok lepas makan di restoran ke gerai, dah tak perlu lagi keluar macam dulu. Tak seperti awal tahun dulu. Aku memang takut nak merokok dalam kedai sebab penguatkuasaan ketat, pemilik premis pun patuh peraturan.

“Tapi sejak COVID-19, aku tengok kebanyakan pemilik kedai makan lebih tumpu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 daripada larangan merokok.

“Mask (pelitup muka) dan (bacaan) suhu lagi penting bagi mereka berbanding isu hisap rokok dalam premis. Kami (geng perokok) pula apabila tengok pemilik dan pekerja premis macam okay je kami merokok, tak ada tegur, makin selambalah hisap di meja makan,” rakan saya yang saya kenalkan di sini sebagai Ejumpjawes, 42, berkongsi kisah.

Seperti yang rakan saya beritahu, di banyak tempat termasuk restoran atau gerai, sudah semakin rancak amalan tidak sihat yakni merokok kembali menular. Saya sendiri pernah menyaksikannya!



Ada sebabnya mengapa saya bertanya hal itu kepada rakan saya yang sudah dikenali ketika menuntut di universiti awam (UA) di Selangor, sekitar 2003. Bapa kepada lima anak itu, perokok tegar ‘mengabdikan’ diri selama 25 tahun dengan produk beracun berkenaan dalam kehidupan sehariannya. Ejumpjawes biasanya menghabiskan dua kotak atau 40 batang rokok sehari.

Sejak kebelakangan ini, anak kelahiran Selangor ini mula beralih kepada rokok elektronik, vape, berikutan harga rokok kian mahal, sekali gus mengurangkan pengambilan rokok konvensional kepada 15 batang rokok sehari.

“Bukan aku saja merokok dalam kedai makan, ramai lagi geng perokok lain. Pemilik premis pun tak berani tegur sebab kami pelanggan tetap dia. Apabila dah jumpa geng, lebih lima batang rokok di gerai makan dalam masa dua jam pun boleh. Nikmatnya tak terkata.

“Tapi, bukan semua restoran dan gerai yang boleh, ada juga masih ikut peraturan. Aku pun tengok keadaan juga, kalau ada orang tua, wanita mengandung, kanak-kanak, aku tak buat tabiat merokok tu,” katanya.



Masih lagi mesra seperti dahulu, saya sebenarnya sudah lama tidak bertanya khabar dengan rakan saya yang bekerja dengan sebuah badan berkanun di Kuala Lumpur. Kalau tidak silap kali terakhir kami berkongsi cerita mengenai kerja dan sebagainya adalah sekitar awal 2019.

Kali ini, sengaja saya menghubunginya kerana selain ingin mengetahui perkembangan terkini kehidupannya, topik rokok tidak ketinggalan menjadi perbualan kami pada malam itu. Saya sebenarnya ingin tahu sama ada perokok tegar ini sudah kembali kepada tabiat lama atau masih lagi patuh dengan peraturan larangan merokok di premis makanan seperti diwartakan sebelum ini.

Kecewa juga saya apabila mendengar perkongsiannya. Dia pun seangkatan dengan segelintir perokok lain yang kelihatannya sudah makin selesa ‘menghidupkan kembali’ persekitaran tidak sihat itu. Nampaknya mereka sedikit pun tidak berasa bersalah dan segan-silu ‘mengajak paksa’ perokok pasif lain berkongsi sama hembusan asap penuh beracun itu.

Topik rokok menjadi pilihan untuk dibualkan memandangkan saya sebelum ini sudah banyak kali berhadapan dengan senario segelintir perokok degil yang nampaknya sudah mula ambil ringan dengan pelaksanaan larangan merokok di premis makanan sebaik kerajaan mula melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebagai orang bujang, saya tidak nafikan ada masanya suka juga melepak di mana-mana restoran atau gerai makan seusai habis waktu kerja atau hari cuti, sekadar untuk merehatkan minda, melihat karakter orang mahupun keadaan sekeliling bagi mendapatkan bahan idea untuk artikel.

Namun belum pun cukup panas kerusi yang saya duduk itu, agak menyedihkan apabila bau hembusan asap rokok yang terkandung kira-kira 4,000 bahan kimia beracun itu mula memenuhi ruang udara hingga mampu merosakkan mood sesiapa sahaja yang tidak merokok.

Saya masih ingat lagi satu malam ketika balik dari kerja dan menemani rakan menjamu selera di tepi trak makanan. Belum sempat makanan dipesan sampai terhidang di atas meja makan, hidung kami sudah pun dijamu dahulu dengan asap rokok daripada beberapa pelanggan yang turut sama menjamu selera di situ.

Agak bengang rasanya dan ia betul-betul menghilangkan selera kami. Saya cuba mengalihkan pandangan ke beberapa pelanggan lelaki berkenaan dan sebaik menyedari mereka diperhatikan, rokok yang dihisap itu cuba diisembunyikan. Masing-masing membuat muka selamba.

Ini antara satu lagi taktik perokok yang saya dapati sejak kebelakangan ini tidak kisahlah sama ada yang menghisap rokok konvensional mahupun rokok elektronik. Mereka menyembunyikan vape atau puntung rokok tersebut di sebalik lengan ataupun bawah meja setelah mengetahui tindakan tidak sihat itu diperhatikan pelanggan lain.

Cuma persoalannya, apakah mereka tidak nampak atau sengaja buat tidak nampak akan poster larangan merokok tertera jelas ditampal di setiap penjuru restoran atau medan selera? Atau apakah mereka termasuklah tuan pemilik premis makanan dan pekerja mereka sudah lupa akan peraturan yang termaktub jelas dikuatkuasakan sebelum ini tanpa adanya alasan pengecualian?

Kerajaan sebelum ini melaksanakan larangan menghisap rokok dan vape di semua tempat makan di seluruh negara di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuat kuasa penuh mulai 1 Januari lalu.

Dengan penguatkuasaan itu, mereka yang didapati ingkar dan masih lagi merokok dalam kawasan larangan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250, namun boleh dikurangkan kepada RM150 jika denda itu dijelaskan dalam tempoh satu bulan.

Namun, sekiranya masih lagi berdegil dan terus menghembuskan asap rokok dalam premis makanan, tiada pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan kedua dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Pemilik premis pun tidak terkecuali kerana mereka bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dan sekiranya gagal mematuhinya turut boleh dikenakan kompaun.

Peraturan ini nyata jelas dimaklumkan banyak kali sebelum ini malah pendidikan penguatkuasaannya dijalankan selama setahun sebelum dikuatkuasakan penuh tahun ini. Boleh dikatakan kebanyakannya faham dan patuh dengan larangan berkenaan.

Malah boleh dilihat ketara ketika awal penguatkuasaan tahun ini, didapati ramai perokok yang sanggup meninggalkan meja makan dan pergi sehingga jarak tiga meter untuk melepaskan gian tersebut ataupun sudut khas disediakan pemilik premis bagi pelanggan mereka merokok.

Namun, baharu sahaja beberapa bulan penguatkuasaan penuh larangan tersebut dilaksanakan, ruang khas yang saya dapati disediakan oleh seorang pemilik premis makanan di sebuah restoran di Lembah Klang sudah tidak ada lagi bahkan perokok begitu senang hati merokok di meja makan tanpa ditegur sesiapa.

Mungkin ada menyangkakan pelaksanaan undang-undang itu hanya sementara waktu sahaja atau sekadar hangat-hangat tahi ayam memandangkan dilihat seolah-olah sudah tidak ada lagi pemantauan atau penguatkuasaan pihak berwajib mengenai larangan berkenaan.

Namun, benarkah begitu? Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dipetik berkata kerajaan sebenarnya masih lagi melaksanakan peraturan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka termasuk menggiatkan lagi aspek penguatkuasaannya.

“Penguatkuasaan ada lagi sampai sekarang, seperti kes COVID-19 kalau dia langgar (larangan kuarantin) dan kena tangkap baharulah mereka kelam kabut. Samalah dengan penguatkuasaan larangan merokok,” katanya.

Ini bermakna, undang-undang larangan merokok masih lagi ada dan belum ‘berkubur’ seperti disangka sesetengah pihak dengan alasan kononnya pengalihan tumpuan pemantauan sudah diberikan penuh kepada isu pematuhan COVID-19.

Malah, Dr Noor Azmi turut meminta orang ramai memainkan peranan dengan melaporkan kepada anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya melihat ada individu yang melanggar peraturan terbabit.

Ya, dalam hal ini kerjasama masyarakat adalah sangat penting untuk turut sama menjayakan penguatkuasaan larangan berkenaan.

Seperti pelaksanaan undang-undang lain, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak ada seorang pun terkecuali, begitu juga dengan larangan merokok di mana kita tidak boleh bersandar sepenuhnya pada bahu pihak berwajib semata-mata.

Lagipun bukannya sukar. Nampak, terus lapor di mana aduan boleh dikemukakan dengan dua cara sama ada menerusi panggilan telefon di talian 03-88924530 ataupun aplikasi WhatsApp/Telegram/pesanan khidmat ringkas (SMS) melalui nombor 010-8608949.

Namun, bagi perokok pula tidak mahukah menjadikan ini sebagai masa terbaik menghentikan tabiat merokok secara perlahan-lahan? Apatah lagi, golongan perokok didapati berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.

Ini adalah hasil susulan analisis KKM memaklumkan jumlah kematian akibat COVID-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok, iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Justeru, mengapa tidak golongan perokok ambil peluang semasa pandemik COVID-19 ini dengan memulakan normal baharu berhenti merokok? Anda mesti boleh melakukannya! – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker