WAN ROSDY KOMITED PULIHKAN KAWASAN PENCEROBOHAN HARAM DI CAMERON HIGHLANDS

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG
LAWATAN KERJA KE SUNGAI ICHAT DAN SUNGAI TERLA, KUALA TERLA, MUKIM ULU TELOM, CAMERON HIGHLANDS
10 SEPTEMBER 2020


Assalamualaikum Warhmatullahi Wabarakatuh.

Bersempana lawatan kerja saya ke Sungai Ichat dan Sungai Terla tengah hari ini, sukacita saya katakan bahawa, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memulihkan kawasan terosot dan diterokai secara haram di Daerah Cameron Highlands ini.

Sebanyak dua (2) siri tindakan penguatkuasaan telah dilakukan di kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat. Tindakan penguatkuasaan ini diambil bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom, Daerah Cameron Highlands ini terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan (M.M.K) Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 lagi, telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit dengan keluasan 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.



Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok bagi tujuan pemuliharaan, telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (J.P.N.P) sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan.

Selepas Ops Lestari 1 yang dilaksanakan pada 23 Februari 2019, J.P.N.P telah memulihkan seluas 16 hektar kawasan Sungai Ichat, dengan penanaman sebanyak 13,615 anak pokok dari spesies ‘Cupressus’, ‘Meranti Bukit’, ‘Merawan Siput Jantan’, ‘Rhu’, ‘Petai’, ‘Damar Minyak’ dan ‘Gerok’.
Tujuan penanaman semula di kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat ini ialah untuk mengembalikan semula kehijauan kawasan ini serta memulihkan semula Sungai Ichat yang merupakan sumber air untuk Loji Rawatan Air Kuala Terla.



Susulan kepada Ops Lestari 2 yang dilaksanakan pada 23 Disember 2019 pula, J.P.N.P telah mengambil tindakan pantas dengan menanam 4,000 pokok daripada spesis ‘Damar Minyak’, ‘Merawan Siput Jantan’ dan ‘Meranti Bukit’, melibatkan kawasan seluas kira-kira 9.75 hektar.

Tindakan pantas ini bertujuan untuk mengelakkan pekebun-pekebun yang terbabit, melakukan semula aktiviti mereka di dalam kawasan tersebut.

Selain daripada itu, sebanyak tiga (3) aktiviti ‘CEPA’ (Communication, Education and Public Awareness) atau Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam; telah dilaksanakan bersama-sama dengan Badan Bukan Kerajaan (N.G.O) dan Universiti Tempatan sepertimana berikut:

I) Majlis Belia Negeri (M.B.N) Pahang dan Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET), pada 15 Februari 2020

II) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pada 5 dan 6 Mac 2020

dan,

III) Lions Club, pada 14 Mac 2020.

Hasilnya, seluas 12.25 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan dengan menanam sebanyak 11,200 anak pokok daripada pelbagai spesis.

Sehingga kini, seluas 38 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan melalui penanaman sebanyak 28,815 anak pokok. Baki kawasan yang belum ditanam akan ditanam secara kontrak.

Secara keseluruhan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (J.P.S.M) dengan kerjasama J.P.N.P telah melaksanakan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia.

Ini bertujuan memulihkan semula kawasan hutan terosot yang disebabkan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh atau disebabkan perbuatan manusia seperti penerokaan haram dan pencerobohan melalui aktiviti tanaman pokok.

Terdapat seluas 968 hektar kawasan hutan terosot di Negeri Pahang yang daripadanya, 617 hektar telah dan sedang dipulihkan sejak tahun 2017 hingga tahun 2020 ini, melibatkan peruntukan kira-kira RM24.8 juta.

Baki kawasan seluas 351 hektar akan dipulihkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Pada tahun 2017, seluas 150 hektar kawasan hutan terosot di Daerah Cameron Highlands telah dipulihkan termasuk menanam 93,750 anak pokok pelbagai sepsis. Peruntukan terlibat, kira-kira RM8.6 juta.

Hutan Simpan yang telah dipulihkan ini ialah –

Hutan Simpan Bertam
Hutan Simpan Batu Gangan
Hutan Simpan Terla A
Hutan Simpan Terla B
dan
Hutan Simpan Bukit Jerut.

Pada tahun 2019, J.P.S.M meneruskan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia di Daerah Cameron Highlands dengan memulihkan seluas 200 hektar kawasan hutan terosot termasuk menanam 88,977 anak pokok pelbagai sepsis. Peruntukan terlibat pula ialah kira-kira RM4.8 juta.

Bagi memastikan kawasan yang telah dipulihkan tidak lagi diterokai, J.P.N.P sentiasa komited melakukan pemantauan secara berkala, di kawasan-kawasan tumpuan atau ‘hotspot’.

Hasilnya, satu tangkapan ke atas seorang warganegara Bangladesh dibuat kerana kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kial, dengan menaman pokok cili. Individu ini telahpun dituduh dan didapati bersalah di bawah Subseksyen 81(1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984. Beliau telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM8,000 dan boleh dipenjara lapan (8) bulan jika gagal membayar denda tersebut.

DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
10 September 2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *