MENGINAP ATAS POKOK, , RUMAH BOT

PENERBANGAN selama empat jam ke Kerala di timur barat India mengundang perasaan bercampur-baur kerana pertama kali penulis ke negara Bollywood itu pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan pembacaan penulis di beberapa blog percutian, India antara negara yang mempunyai pelbagai budaya dan tempat menarik tetapi kebanyakan hasil carian penulis banyak menekankan faktor kebersihan yang perlu diambil berat ketika melancong ke sana.

Namun, setibanya di sana, jangkaan penulis ternyata meleset apabila mendapati keadaan di kota Kochi tidaklah seteruk dikhabarkan, menyebabkan penulis teruja untuk menyusuri Kerala yang terkenal dengan rumah bot dan pesisir pantai memutih.

Destinasi pertama penulis dan rakan adalah Munnar, sebuah kawasan tanah tinggi di Kerala. Umpama Cameron Highlands, Munnar yang terletak kira-kira empat jam dari kota Kochi, adalah lokasi penanaman pokok teh di kawasan pergunungan yang sememangnya terkenal dengan rata-rata penduduknya menggemari minuman itu.

KEINDAHAN kawasan desa di Alleppey disaksikan ketika menaiki rumah bot.
KEINDAHAN kawasan desa di Alleppey disaksikan ketika menaiki rumah bot.

Penulis sempat melawat ladang herba untuk perubatan Ayurveda apabila puluhan jenis tanaman herba ditanam untuk dijadikan inti pati produk herba yang dijual di situ.

Kami dibantu seorang jurupandu wanita untuk mengelilingi kawasan ladang selain menerangkan kegunaan dan cara yang terbaik untuk memproses herba berkenaan bagi mengekalkan khasiat serta nutrisinya.

Di sini juga penulis tidak melepaskan peluang melawat ladang dan kilang teh bagi mengetahui dengan lebih lanjut cara pemprosesan daun teh dari tangkai pokok hinggalah ke dalam cawan. Sesi penggambaran di kawasan ladang teh yang sememangnya indah dilatari gunung-ganang juga tidak dilepaskan.

Acara yang paling ditunggu-tunggu penulis adalah menuju ke hotel. Bukan kerana lelah selepas seharian berjalan jauh, tetapi lebih untuk merasai pengalaman unik menginap dalam kamar atas pokok!

Teruja rasanya tinggal di rumah pokok dua tingkat, apabila batang pohon menembusi kamar dari lantai ke atap. Suasana dari beranda kamar juga sangat indah dan menenangkan disulami hawa sejuk pergunungan yang dinikmati bersama cangkir teh serta kopi buatan tempatan.

LANDSKAP ladang teh yang indah di Munnar.
LANDSKAP ladang teh yang indah di Munnar.

Keesokan hari, penulis mengucapkan selamat tinggal kepada Munnar untuk menuju ke kawasan Alleppey yang terkenal dengan kawasan ‘backwater’. Hero pelancongan di Alleppey ini sudah tentunya rumah bot yang menyediakan pengalaman berbeza.

Rantaian puluhan tasik dihubungkan ratusan tali air membentuk rangkaian trafik air yang digunakan sebagai laluan rumah bot yang beroperasi di sini.

Penulis dan rakan menempah sebuah rumah bot yang boleh memuatkan tiga orang. Penulis mendaftar masuk kira-kira jam 3 petang. Terdapat tiga kru yang terdiri daripada pemandu, tukang masak dan pekerja yang akan belayar bersama serta memberikan khidmat layanan umpama menginap hotel.

Dengan harga yang berpatutan, katil besar dan selesa disediakan. Bilik mandi berserta tab mandi menjadikan pengalaman rumah bot ini lebih menyeronokkan dan terasa lebih mewah.

Pengalaman jelajah kami di atas rumah bot secara rasminya bermula apabila rumah bot bergerak menyusuri kawasan ‘backwater’ Alleppey. Pemandangan kawasan desa indah dan hamparan sawah padi sepanjang pelayaran di tali air dan tasik dinikmati dari ruang rehat di tingkat atas rumah bot nyata memberikan suatu kepuasan. Perasaan gembira membeli aiskrim dari perahu kecil yang lalu-lalang juga menjadi momen indah.

Rumah bot akan bergerak melalui kawasan tasik dan tali air untuk beberapa jam sehingga berlabuhnya tirai senja, kemudian ia akan berhenti di kawasan perkampungan tempat kita boleh berjalan serta mengambil angin sementara menunggu makan malam disediakan.

Kebetulan pada malam itu bulan mengambang penuh menambah lagi seri dan pemandangan malam di kawasan desa Alleppey.

Cuma satu malam di rumah bot, penulis bagaikan tidak bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada Alleppey. Namun masa mencemburui dan penulis perlu pulang ke kota Kochi untuk kembali ke tanah air keesokan harinya.

Hari yang terakhir, penulis menginap di kota Kochi, ibu negeri Kerala yang terkenal tebal dengan pengaruh kolonial British terutama pada ciri-ciri binaan bangunannya.

HUTAN pokok eucalyptus banyak di Munnar.
HUTAN pokok eucalyptus banyak di Munnar.

Kesempatan diambil untuk merasai keunikan makanan India yang enak seperti nasi beriani, nasi jeera dan roti seperti paratha, naan serta capati yang tentunya di negara asalnya lebih kaya dengan rasa.

Penulis juga berpeluang melawat beberapa kawasan seperti Jewish Town dan beberapa pasar raya serta pasar untuk membeli cenderahati. Produk tekstil seperti sari, pashmina dan selendang memang banyak dengan harga berpatutan dengan kualitinya. Sempat juga singgah di sebuah kafe hipster untuk menghirup ‘latte’ yang dihidangkan bersama santan sebagai pengganti susu.

Akhirnya, tiba masa untuk penulis mengucapkan selamat tinggal kepada kota Kochi dan Kerala yang banyak menyajikan pengalaman unik serta berbeza.

Pengalaman pertama penulis ke India ini sangat membuka mata dan membuatkan penulis rasa tertarik untuk terus menjelajah ke negara berpopulasi kedua terbesar di dunia ini. Hingga jumpa lagi!

hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *