21 PERTUDUHAN KEMUKA DOKUMEN PALSU

Johor Bahru: Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Norlizah Mohd Jani, 45, yang bertugas di bahagian pengkeranian atau operasi di Pejabat Kadi Daerah Kluang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di pejabat itu dengan disedari memberikan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu iaitu Borang Tuntutan Saguhati Mengajar di bawah Rancangan Kelas Terakhir Masjid dan Surau.

Kegiatan itu didakwa dilakukan dari Januari 2015 sehingga September 2016 yang berjumlah RM16,800 sedangkan aktiviti terbabit tidak dijalankan dan ia dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Tertuduh juga tidak mempunyai tauliah yang menjadikan syarat untuk mengajar dan menerima elaun sebagai guru takmir, selain dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) Akta Yang sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Salahudin Tugiman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Oktober depan.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker