30 KERBAU ‘MOWGLI’ MATI MENGEJUT



Kuala Terengganu: Lebih 30 daripada 110 kerbau milik Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu.

Tinjauan Harian Metro ke kandang kerbau di Kampung Banggol Katong itu mendapati beberapa ekor kerbau yang diternak, mati bergelimpangan di dalam kandang.

Muhammad Syukur berkata, dia terkejut apabila mendapati kerbau miliknya mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu.



“Pada mulanya hanya seekor yang mati pada Rabu tetapi tanpa sebarang tanda kematian dan disangka penyakit biasa.

“Keesokannya, seekor lagi yang mati sebelum Jumaat (dua), Sabtu (empat) dan Ahad (sebelas).

“Hari ini saja 10 sudah mati dan dijangka lebih lima ekor lagi yang akan mati kerana sebab yang sama,” katanya ketika ditemui di kandangnya, hari ini.



Menurutnya, dia sangat sedih dengan kejadian itu malah semua ahli keluarga sedang berada dalam keadaan berduka sekarang.

“Maklumlah semua kerbau itu diternak lebih 50 tahun lalu justeru pasti membuatkan kami bersedih terutama ayah, Khamis Jusoh, 64.

“Ayah yang paling sedih dengan kejadian itu dan ia pertama kali berlaku dan dibimbangi semua kerbau akan mati.



“Kerbau kesayangan saya iaitu Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin pencegahan,” katanya.

Sementara itu, Khamis berkata, dia bersama keluarga buntu memikirkan penyakit yang menular itu sehingga menyebabkan kematian kerbau secara mengejut.

“Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah datang dan membuat siasatan punca kematian semua kerbau itu.

“Berkemungkinan besar ia mati kerana penyakit hawar berdarah bagaimanapun keputusan ke atas pemeriksaan itu akan diperolehi dua minggu lagi.

“Kerbau yang mati itu hanya mengalami selsema saja tanpa menunjukkan tanda-tanda diserang penyakit,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan hampir RM200,000 kerugian yang dialami susulan kematian lebih 30 kerbau itu.

Terdahulu gambar kerbau Muhammad Syukur yang mati dikongsikan Dallah Deen di Facebok.

hmetro



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: