BONGKAR ‘MENU’ GRO

Ipoh: Bukan hanya sekadar menawarkan makanan dan minuman kepada pelanggan, tetapi turut menawarkan perkhidmatan ‘gadis peneman’ atau GRO ketika beroperasi pada sebelah malam hujung minggu.

Itu taktik yang dilakukan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebuah premis yang beroperasi sebagai kedai makan di Jalan Russel di sini.

Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dibongkar ketika serbuan 29 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam Ops bersepadu bermula 7 sehingga 9 malam, kelmarin.

Pengarah Imigresen Negeri Perak,Kamalludin Ismail berkata, serbuan terhadap dua lokasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat orang awam dan risikan yang dibuat sebelum ini.

“Lokasi serbuan membabitkan dua premis iaitu kedai makan dan sebuah pub. Pemeriksaan terhadap 36 orang berjaya menahan 21 orang terdiri daripada dua lelaki warganegara Myanmar dan 19 wanita warganegara China berusia antara 28 hingga 50 tahun.

“Serbuan terhadap salah sebuah premis berkenaan (kedai makan) menyaksikan beberapa warga asing ini lari bertempiaran selepas mengetahui kehadiran pegawai operasi di lokasi berkenaan.

“Terdapat juga warga asing yang sanggup menggadai nyawa melarikan diri ke arah jalan besar yang ketika itu agak sibuk dengan kenderaan sehingga mencetuskan aksi mengejar membabitkan pegawai operasi dan warga asing itu,” katanya.

Kamalludin berkata, walau bagaimanapun, ketangkasan pegawai operasi berjaya menangkis cubaan itu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi premis ini adalah menyediakan perkhidmatan gadis peneman atau GRO dengan memberi layanan manja kepada pelanggan sebelum ke pangsapuri yang terletak di belakang premis terbabit.

“Premis ini beroperasi setiap hari tetapi menjalankan perkhidmatan GRO pada hari Sabtu dan Ahad di sebelah malam sahaja dan bayaran kepada GRO ini adalah bergantung kepada ‘tips’ yang diberikan oleh pelanggan,” katanya.

Menurut maklumat awal yang diterima premis kedai yang diserbu ini disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

“Hasil siasatan awal mendapati bahawa kesemua mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan tinggal lebih masa. Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker