MEMBANDING RESAH ATAU BAHAGIA

BANYAK perkara dalam dunia ini menuntut kita membuat perbandingan. Kita bukan sengaja hendak membanding tetapi terbanding tanpa sengaja. Kadangkala kita terbanding antara anak-anak, banding anak kita dengan anak jiran, banding harta kita dengan harta rakan dan banyak lagi perbandingan tanpa berasa puas.

Hakikatnya, kuasa membanding ada di tangan kita. Kita boleh memilih untuk membanding dan menikmati kebahagiaan, sebaliknya kita boleh membanding untuk menjemput resah. Perbandingan yang mendatangkan resah boleh berlaku apabila kita membandingkan diri kita dengan orang yang lebih hebat daripada kita.

Ada yang beranggapan kita wajar membandingkan diri dengan individu yang lebih hebat supaya dapat mencontohi individu tersebut. Memang boleh, tetapi kita perlu menyiapkan diri dengan sifat mahmudah seperti berfikiran positif, gigih, bersyukur dan sabar. Latihan itu memerlukan mujahadah yang tinggi kerana ramai yang terkandas di pertengahan jalan.

Pada mulanya menjadi motivasi untuk berjaya tetapi lama-kelamaan menimbulkan rasa tidak puas hati, dengki dan berputus asa lebih-lebih lagi bila kapasiti kemampuan kita tidak sama dengan orang yang ingin kita contohi.

Perbandingan yang mendatangkan bahagia bermula apabila kita membandingkan kehidupan dunia kita dengan orang yang lebih rendah daripada kita. Imam al-Ghazali (1058-1111M), seorang ulama Islam yang terkenal dalam bidang tasawuf mengingatkan kita dalam bukunya Ihya Ulumuddin:

“Lihatlah individu yang lebih rendah daripada kita dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan dunia supaya kita mensyukuri nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita serta lihatlah individu yang lebih tinggi kedudukannya dalam agama supaya kita tidak terlalu mendambakan keduniaan serta dapat mempertingkatkan amalan kebajikan.”

Jika kita bekerja, kita lihat orang yang tiada pekerjaan. Jika kita menaiki kereta, kita lihat orang yang menaiki basikal. Jika kita berada di dalam rumah yang sederhana, bayangkan orang yang tiada rumah. Jika kita mempunyai anak yang sesekali membuat ‘perangai’ bayangkan orang lain yang langsung tiada anak.

Perkiraan begitu akan membantu kita untuk melahirkan rasa syukur dan rasa syukur itu adalah rezeki yang dilimpahkan ALLAH dalam hati sehingga memberikan ketenangan. Ini selari dengan ayat al-Quran (Surah al-Ahqaf 46: 15) yang bermaksud: “Ya Tuhanku! Ilhamkanlah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu-bapaku, dan supaya aku tetap melakukan amal soleh yang Engkau redai.”

Ini tidak bermakna kita tidak perlu berusaha memperbaiki kehidupan dunia kita sebaliknya teruskan berusaha dengan sentiasa memohon pertolongan dan reda ALLAH. Lihatlah diri kita, orang di sekeliling kita. Apa yang kita ada dan apa yang kita miliki. Renunglah satu-satu apa yang kita ada, jangan pandang apa yang orang ada, kelak kita sedih kerana kita tiada.

Perbandingan adalah racun kehidupan jika salah mengemudinya. Renunglah ibu bapa, pasangan kita, anak-anak, keluarga dan sahabat kesayangan kita. Mereka adalah harta paling bererti dalam kehidupan kita, kerana kita mahu bersama mereka hingga ke syurga. Jadi, apalah sangat dengan kesedihan hidup di dunia seperti dibenci dan difitnah orang sedangkan kita ada keluarga dan rakan yang menyayangi kita?

Selain itu, kuasa membanding yang boleh mendatangkan bahagia boleh berlaku apabila kita membandingkan diri kita dengan orang yang soleh. Perbandingan itu untuk kita mencontohi mereka dari segi kekuatan ibadah dan usaha mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Ambil teladan tentang ikhlasnya mereka bangun qiamullail, berzikir yang sentiasa ada ALLAH dalam dadanya, tidak sedih dengan kegagalan di dunia kerana yakin dengan kejayaan hakiki di akhirat serta meyakini dunia ini hanya sementara dan bahagia hakiki pada alam abadi.

Selain itu, kita sepatutnya membandingkan diri kita dengan masa lalu kita. Jika dahulu kita bergaji kecil sekarang sudah bergaji besar. Jika dulu kita tinggal di rumah yang atapnya bocor tetapi sekarang kita memiliki rumah batu yang lebih selesa. Jika dahulu kita punya kereta kecil, sekarang ada kereta yang lebih besar. Bukankah itu akan menjadikan kita lebih bersyukur?

Kita sering gagal mencari bahagia kerana kita mencarinya terlalu jauh. Sebenarnya bahagia itu boleh ditemui jika kita menghargai apa yang kita ada. Justeru, carilah bahagia kita sendiri kerana bahagia itu ada pada diri kita, cara kita menilai diri, menghargai kehidupan dan mensyukuri segala nikmat yang ALLAH kurniakan. Rupanya membanding juga kena bijaksana.

Artikel Penuh : 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker