PAS HADAPI DILEMA JIKA UMNO-PPBM TERUS BERCAKAR, KATA PENGANALISIS



Sikap PAS yang pada ketika ini menjadi “orang tengah” antara Umno dan PPBM akan menyebabkan parti berkenaan menghadapi dilema, khususnya dalam hadapi pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik.

Azizuddin Mohd Sani, pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sikap mesra ditunjukkan PAS terhadap PPBM dan Umno diambil selepas parti itu menyedari bahawa jika bersendirian, ia tidak akan berjaya ke Putrajaya.

“Sebab itu kita lihat PAS terus bersama Muafakat Nasional dan bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN). Memang ini akan menyebabkan rakyat keliru. Seolah-olah PAS berada di semua sudut, selagi ada kuasa dan kepentingan politik.



“Memang ia memberi kebaikan kepada PAS, tetapi akan menyebabkan pengundi rasa tidak selesa. Umno ada kekuatan dan PPBM pula ada kuasa, tetapi tanpa PAS juga, kerajaan PN tidak wujud. Tetapi apakah ia mampu diterjemahkan dalam PRU akan datang,” katanya kepada FMT.

Azizuddin Mohd Sani.

Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak boleh berpisah dengan Umno dan PPBM, selepas parti itu berjaya menyatukan ketiga-tiga parti itu dan membentuk kerajaan PN, yang kini diketuai Muhyiddin Yassin.

PAS ketika ini bersama Umno dan PPBM dalam Muafakat Nasional (MN). Pada masa sama, iajuga membentuk sgabungan lain yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, bersama dengan beberapa parti lain.



Bahkan, PAS turut terbabit dalam gabungan wakil rakyat membentuk kerajaan PN.

Dalam pada itu, Muhyiddin sebelum ini mendedahkan bahawa Hadi merupakan pemimpin terawal yang menyokongnya dilantik sebagai perdana menteri berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Mac lepas.

Umno sebelum ini membuat keputusan untuk tidak akan menyertai PN, sebaliknya akan meneruskan kerjasama dengan PAS melalui MN dan parti lain dalam Barisan Nasional (BN).



Azizuddin berkata, isu paling besar kini ialah antara Umno dan PPBM, parti manakah yang akan bersama PAS, sekiranya Umno terus bertegas mahu memasuki pilihan raya umum ke 15 (PRU15) menggunakan logo BN, seperti keputusan yang dibuat untuk pilihan raya negeri Sabah akhir bulan ini.

“Jika Umno mahu bertanding di bawah BN dan tidak di bawah PN, jadi apakah keputusan PAS? Apakah mengikut keputusan di Sabah ketika ini, bahawa PAS sedia bertanding menggunakan logo BN, atau mereka bertanding menggunakan logo PAS?” soalnya.

Beliau berkata, tidak dinafikan PAS akan turut memainkan peranan penting dalam PRU15 kelak memandangkan parti itu turut mempunyai kelebihan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Bahkan katanya, di negeri terbabit , Umno dan PPBM perlu bersama PAS jika mahu menang.

“Jika lihat kekuatan di peringkat akar umbi, PAS akan lebih kuat jika bersama dengan Umno kerana akar umbi Umno juga kuat.

“Tetapi jika bertembung sesama sendiri, ia akan beri kesan kepada keputusan pilihan raya. Cumanya PPBM juga tidak boleh diketepikan.

Mohd Sayuti Omar

“Ini kerana, sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin sebagai popular dalam kalangan rakyat berbanding dengan pemimpin Umno. Ada kelebihan untuk bekerjasama dengan Umno dan PPBM, tetapi kalau kedua-dua pafrti ini terus bertembung, ia akan menjadi dilema kepada PAS,” katanya.

Sementara itu, pemerhati politik Mohd Sayuti Omar berkata, sebagai parti yang sudah mencapai usia 69 tahun PAS perlu memainkan peranan yang lebih besar, berbanding hanya menjadi “kingmaker” antara Umno dan PPBM.

“Saya lihat, PAS meletakkan dirinya kepada siapa yang dia boleh berikan manfaat, dalam konteks hari ini, dia bersama PPBM kerana Muhyiddin perdana menteri, tetapi bila esok Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi perdana menteri, dia akan bersama Umno.

“PAS sepatutnya menunjukkan prinsipnya, dia boleh sokong mana-mana parti dan turut memperkuatkan kedudukannya sendiri. Sebab dia parti terbesar dan parti yang boleh diterima orang Melayu di dalam negara ini. PAS sepatutnya menjadi “raja”, bukan hanya “kingmaker”,” katanya.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: